Jangan mudah puas hati, pemain Sarawak diingat

0

KUCHING: Sikap mudah berpuas hati sebahagian besar pemain bola sepak Sarawak menyebabkan ramai yang gagal pergi jauh dalam karier mereka.

Jurulatih Piala Presiden, Suliman Mustanir berkata rata-rata pemain meletakkan harapan semata-mata kepada jurulatih untuk membentuk ciri-ciri permainan dan keterampilan mereka dalam bola sepak, tanpa menyemai keinginan dan berusaha sendiri untuk meningkatkan prestasi diri.

“Contohnya, kalau mereka diminta untuk berlatih pada jam 3.30 petang, pada waktu itulah mereka datang untuk berlatih,” katanya semasa ditemui pada sesi latihan pemain-pemainnya di Stadium Negeri, baru-baru ini.

“Mereka jarang memikirkan untuk datang lebih awal seperti pernah dilakukan pemain Roslan Ismail yang berada di padang pada jam 2 petang, berlari mengelilingi padang sebelum menyertai latihan.

“Sebab itulah pemain seperti Roslan sentiasa mendapat peluang dalam mana-mana pasukan kerana kesungguhannya untuk meningkatkan prestasi.”

Justeru, Suliman menasihatkan pemain-pemain supaya mencontohi sikap pemain seperti Roslan sekiranya ingin mengekalkan prestasi dalam karier mereka.

“Satu lagi sikap sebilangan pemain Sarawak (ialah) apabila datang berlatih, mereka tidak terus berlatih tetapi berbual-bual terlebih dahulu bersama kawan-kawan atau SMS, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan penuh kepada latihan,” tambahnya.

“Sepatutnya, apabila berada di padang mereka terus melupakan sejenak dunia luar dan memberi tumpuan kepada latihan, dan sekiranya jurulatih belum datang, mereka membuat latihan sendiri dengan menyepak bola atau berlari.”

Menurut bekas pemain Ngap Sayot itu, ada dalam kalangan pemain apabila  dipilih menyertai pasukan negeri terus berasa puas hati, tetapi tidak pernah memikirkan untuk bermain bersama skuad kebangsaan.

“Memang bukan mudah untuk dipilih bermain mewakili negara tetapi, kalau mereka berusaha bersungguh-sungguh bermain sewaktu dalam perlawanan, berjaya menjaringkan gol, tidak mustahil mereka akan dipilih atau ditawarkan pasukan di Semenanjung untuk bermain dengan mereka,” kata Suliman lagi.

“Walaupun tidak dapat bermain dengan pasukan kebangsaan tetapi apabila ditawarkan bermain dengan pasukan di Semenanjung dengan gaji lumayan, itu sudah memadai.”

Suliman berkata, pemain-pemain Sarawak pada zaman sekarang lebih mudah untuk dipilih bermain dengan pasukan negeri berbanding pemain-pemain terdahulu yang banyak persaingannya.

“Berbanding dengan pemain sebelum ini, untuk mendapat tempat dalam pasukan negeri, mereka harus mempunyai skil dan berdisiplin tinggi sewaktu latihan,” jelasnya.

“Pemain terdahulu bukan memikirkan imbuhan, tetapi minat mereka dalam bola sepak di samping semangat cintakan pasukan untuk mengharumkan nama negeri.”