Masyarakat di Beting Maro mahu Bolhassan dicalonkan semula

0

KUCHING: Masyarakat Melayu, Iban dan Cina di kawasan N.24 Beting Maro menyokong penuh pencalonan semula Datuk Bolhassan Di sebagai calon kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri ke-10 April depan.

Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Beting Maro Mohidin Roshan berkata surat sokongan ke atas pencalonan semula Bolhassan telah dipersetujui oleh semua ketua kaum, ketua masyarakat, penghulu serta ketua ranting untuk dikemukakan kepada Ketua Penerangan PBB Sarawak Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Menurutnya, pihaknya berjanji akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan kemenangan BN dan mengekalkan Bolhassan sebagai ADUN Beting Maro pada pilihan raya kali ini.

“Kami yakin Bolhassan akan dapat meraih undi serta kemenangan yang lebih baik pada pilihan raya akan datang berdasarkan sumbangan dan usaha gigih yang beliau bawa kepada rakyat di kawasan ini.

“Sepanjang perkhidmatan beliau lebih daripada 15 tahun sebagai wakil rakyat di kawasan ini, beliau telah banyak menyelesaikan isu tanah dan pembangunan selain turut berjuang untuk mempertingkatkan tahap ekonomi penduduk.

“Bolhassan adalah calon yang sudah banyak pengalaman dan banyak membawa pembangunan di kawasan kami dan beliau cukup berpengalaman dalam menghadapi politik parti pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Borneo ketika ditemui di sini bersama rombongannya dari Beting Maro bagi mengemukakan surat sokongan terhadap Bolhassan kepada Adenan yang juga merupakan penasihat khas di Pejabat Ketua Menteri.

Sementara itu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pusa Datuk Lim Kian Choon berkata Bolhassan mempunyai hubungan yang baik dengan parti sejak dari dahulu lagi.

Katanya, Bolhassan telah berjaya membawa masuk pelabur bagi membuka ladang kelapa sawit serta menyediakan peluang pekerjaan yang begitu banyak di kawasan berkenaan.

“Saya tidak menafikan banyak mendengar kritikan ke atas Bolhassan, namun sebagai manusia kita tidak dapat mengelak daripada melakukan kesilapan.

“Bagaimanapun saya mewakili seluruh warga SUPP Cawangan Pusa menyokong 100 peratus ke atas pencalonan semula Bolhassan sebagai calon BN bagi kerusi N.24 Beting Maro,” katanya.

Jawatankuasa Iban Batang Undai dalam pada itu turut menyatakan sokongan ke atas pencalonan semula Bolhassan.

Tuai Rumah Sandah Nyaba yang mewakili tuai rumah di kawasan N.24 Beting Maro berkata mereka masih memerlukan perkhidmatan Bolhassan memandangkan sejak dahulu lagi mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin itu.

“Bolhassan sememangnya seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, beliau sangat prihatin serta menyelesaikan banyak masalah di rumah panjang kami.

“Dengan ini besarlah harapan kami agar beliau dicalonkan semula bagi mewakili kawasan N.24 Beting Maro pada pilihan raya negeri April depan,” katanya.

Bolhassan mula menyertai bidang politik pada 1987 pada usia seawal 33 tahun dan telah berkhidmat selama lebih daripada 15 tahun sebagai wakil rakyat di kawasan Benting Maro.

Pada pilihan raya negeri 2006, Bolhassan yang bertanding mewakili BN menang dengan undian sebanyak 60 peratus berbanding pembangkang yang hanya mendapat 40 peratus undi.

Beting Maro mempunyai pengundi seramai 7,558 iaitu 90 peratus terdiri daripada pengundi Melayu, tujuh peratus pengundi Iban dan tiga peratus pengundi Cina.