Calon BN diumum selepas temui PM pada 1 atau 2 April

0

MUKAH: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengesahkan bahawa beliau akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 atau 2 April untuk menyerahkan senarai calon Barisan Nasional (BN) Negeri.

Justeru, katanya, beliau akan membuat pengumuman berhubung perkara itu hanya selepas perjumpaan dengan Najib.

Menurut beliau, setakat ini calon-calon BN memang dikenal pasti, namun sesi penapisan masih berjalan sebelum senarai akhir diperolehi untuk diserahkan kepada Najib.

“Senarai memang ada. Bagaimanapun belum diputuskan. Mengenai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) saya mengenal pasti ada calon yang dikekalkan dan digugurkan. Muka baharu pastilah ada.

“Pemilihan calon PBB berjalan lancar. Saya belum mendapat semua senarai calon daripada parti komponen lain. Apa yang pasti menjelang 1 April saya akan perolehi senarai lengkap,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa melakukan lawatan ke Bilik Gerakan PBB Balingian di Bandar Baharu di sini, petang semalam.

Taib juga meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kedudukan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus Larry Sng.

“Tunggu serta lihat. Saya tidak mahu memberikan sebarang komen sementara pihak-pihak berkenaan berunding. Biarkan mereka berunding dalam suasana terbaik. Jangan diganggu.

“Kalau saya komen sekarang, bukankah ia akan mengganggu perundingan pihak-pihak terbabit? Tunggu, pasti ada hasil perundingan mereka nanti,” jelasnya.

Taib berkata, beliau mempunyai cara dan pendekatan sendiri dalam menangani sesuatu isu melibatkan BN Negeri tanpa perlu campur tangan pihak luar.

“Saya ada cara sendiri (selesai isu dalaman BN Negeri). (Datuk Seri) Anwar Ibrahim pun ada cara dia sendiri. Itu cara dialah. Saya pakai cara saya. Saya berpendapat setiap permasalahan ada penyelesaian.

“Sebarang percanggahan perlu diselesaikan secara permuafakatan. Desak-mendesak lumrah dalam dunia politik. Saya sendiri pun didesak untuk melepaskan jawatan Ketua Menteri. Selagi tidak merosakkan, tidak apalah,” tambahnya.