Terengganu perkenal kelas maya di sekolah rendah

0

KAEDAH MODEN: Murid-murid memberi perhatian semasa mengikuti kelas maya di salah sebuah sekolah rendah di Kuala Terengganu baru-baru ini. — Gambar Bernama

SISTEM pengajaran  secara maya  diperkenalkan  di tiga sekolah rendah  di Terengganu.

Menteri Besar Datuk  Seri Ahmad Said berkata  sebagai permulaan  tiga kelas di Sekolah  Kebangsaan Paya Bunga,  Sekolah Kompleks  Seberang Takir  di Kuala Terengganu, dan  Sekolah Teluk Kalong  di Kemaman dipilih  untuk melaksanakan  projek perintis itu.

“Kos untuk mengadakan  sebuah kelas maya ini  dianggar antara RM25,000  hingga RM30,000  bergantung kepada  kemudahan yang ada dan  kita akan perluaskannya  secara berperingkat  ke sekolah lain jika ia  menunjukkan pencapaian  yang memuaskan,”  katanya selepas  melawat kelas maya  di Sekolah Kebangsaan  Paya Bunga di Kuala  Terengganu baru-baru ini.

Pengajaran di kelas  maya menggunakan  peralatan multimedia  secara interaktif dan  guru tidak lagi  menggunakan papan  putih atau papan  hitam, sebaliknya  menggunakan ‘smart  board’ yang dihubungkan  terus ke talian Internet  dan e-Book murid.

‘Smart board’ itu juga  mempunyai ciri skrin  sentuh untuk menukar  sesuatu halaman dan  boleh mengesan kesilapan  yang dilakukan murid.

Ahmad berkata kerajaan  negeri akan memasukkan  peruntukan khusus  dalam bajet negeri tahun  hadapan bagi menjayakan  projek kelas maya itu.

Program kelas maya  ini adalah hasil lawatan  guru-guru pakar ke  Korea, katanya yang  yakin melalui sistem  pengajaran itu, murid akan  lebih berminat mengikuti  sesi pembelajaran  di kelas. — Bernama