Jambatan CMS ditutup, sebahagian jalan raya mendap dan retak

0

ROSAK: Jalan raya menuju ke ‘Jambatan CMS’ retak dan tenggelam.

KUCHING: Paip bawah tanah yang pecah menyebabkan jambatan yang menghubungkan Pending dan Muara Tabuan di sepanjang Jalan Setia Raja semalam ditutup setelah sebahagian jalan raya di kawasan tersebut mendap dan retak semalam.

Jambatan yang dikenali penduduk tempatan sebagai ‘Jambatan CMS’ dan merentasi Sungai Kuap itu ditutup pada jam 7 pagi apabila jalan raya sepanjang 20 meter mendap dan retak serta boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna.

Pengurus projek Philip Ting mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku disebabkan paip bawah tanah yang pecah.

Menurutnya, pekerja-pekerjanya sudah menyedari jalan raya tersebut mengalami keretakan pada hari sebelumnya dan kemudian berusaha mencari puncanya.

Ting menambah bahawa mereka mengenal pasti masalah sebenar kira-kira jam 2 pagi semalam dan apabila menda-pati keadaan jalan raya semakin teruk, mereka terpaksa mengambil keputusan menutup jalan tersebut dan menjalankan kerja membaik pulih.

Beliau memberi jaminan bahawa keadaan akan diperbetulkan dalam masa 24 jam dan bakal menelan belanja ratusan ribu ringgit.

Sementara itu, pekerja-pekerja di tapak tersebut dengan kerjasama pihak polis menjaga laluan tersebut dan hanya penunggang motosikal dan pejalan kaki dibenarkan lalu.

Bagaimanapun, keadaan ini telah menyebabkan kesesakan jalan raya terutamanya di Jalan Foochow, Tabuan Jaya dan Jalan Chawan.

Penyandang kerusi DUN Pending Violet Yong dan bakal calon Barisan Nasional Prof Dr Sim Kui Hian turut melawat tempat kejadian setelah mendapat tahu mengenai kejadian itu.