Dia isteri saya yang sah: Dr Chan

0

TERJAWAB: Teka-teki status hubungan Dr Chan (kanan) dan Lorna selama ini yang menjadi tanda tanya, sudah terjawab.

MIRI: “Dia adalah isteri saya yang sah,” kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dalam pengakuan yang mengejutkan para pemberita di sini petang semalam apabila menjelaskan status hubungan sebenarnya dengan Datuk Lorna Enan Muloon.

Beliau berkata demikian da-lam satu jadual lawatannya ke Taman Seroja petang semalam yang juga merupakan majlis pertemuan antara kakitangan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Menurut Dr Chan, beliau meminta maaf kepada semua pihak kerana terpaksa merahsiakan status sebenar hubungan mereka yang telahpun berkahwin sejak beberapa tahun dahulu di dalam negara.

“Saya minta maaf kepada semua kerana saya merahsiakan status hubungan sebenar saya dengan beliau (Lorna) sebelum ini kerana beberapa faktor,” katanya.

Antara faktor yang dimaksudkan oleh beliau adalah termasuk menjaga perasaan anak-anaknya dan juga keluarga beliau.

Dr Chan memberitahu turut tidak menjangka bahawa perkara tersebut akan dijadikan senjata dan isu oleh pihak-pihak lain sebagai salah satu daripada serangan peribadi ketika kempen pilihan raya yang akan menjelang nanti.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu juga memberitahu perkara itu (per-kahwinan beliau) sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan hal-hal berkaitan politik kerana ia adalah seratus peratus hal peribadi beliau.

“Terima kasih kepada Lorna ke atas dorongan dan sokongan yang telah beliau berikan kepada saya semalam ini,” ujar beliau lagi.