Taib yakin Larry tidak akan bertanding sebagai calon Bebas

0

LUNDU:Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yakin Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Larry Sng tidak akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10 yang akan diadakan pada 16 April ini.

Taib berkata keyakinan itu disuarakan berdasarkan kesetiaan yang ditunjukkan Larry kepada Barisan Nasional (BN) selama ini meskipun masalahnya dengan parti yang pernah disertai, Parti Rakyat Sarawak (PRS) gagal diselesaikan.

“Bagi saya Larry amat setia kepada BN selama ini. Apa jua yang berlaku beliau tetap setia menyokong BN.., kita tidak boleh menyelesaikan masalahnya dengan PRS dan saya masih mendapati beliau sangat setia kepada BN.

“Kalau beliau bertanding menggunakan tiket Bebas, maknanya beliau tidak setia kepada BN. Saya tidak fikir beliau akan berbuat demikian (bertanding sebagai calon Bebas),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu Taib yang juga pengerusi BN negeri merasmikan Kem Bina Negara Sampadi Lundu, kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar raya Kuching.

Taib juga memberitahu hasratnya mahu mengekalkan Larry dalam BN jika bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus itu tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Larry pemimpin muda yang mempunyai masa depan yang sangat baik…jadi kita akan kekalkannya,” tambahnya.

Taib pada masa sama tidak menolak kemungkinan Larry akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang sekiranya beliau berpegang teguh kepada janjinya untuk terus setia menjadi penyokong BN.

“Saya tidak tahu (Larry akan bertanding dalam pilihan raya umum nanti)…sebarang kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Masa depan politik Larry mula goyah selepas beliau dipecat dari PRS pada 2007 ekoran krisis dalaman kepimpinan yang akhirnya menyaksikan parti itu berpecah kepada dua kumpulan – satu lagi diketuai beliau sendiri manakala satu lagi di bawah naungan Dato’ Sri James Jemut Masing.

Semenjak krisis itu, Masing tetap berkeras enggan menerima semula Larry sebagai ahli PRS sebaliknya menegaskan beliau mempunyai calon yang lebih baik untuk mempertahankan Pelagus yang diwakili Larry menerusi Pilihan Raya Negeri 2001.

Peluang Larry terus dilenyapkan apabila PKR memilih Stanley Nyitar Malang, 57 untuk diletakkan di Pelagus pada pilihan raya negeri nanti bagi mempertahankan kerusi itu itu.