Niue pertahan setem William, Kate

0

WELLINGTON: Negara Niue di rantau Pasifik semalam mempertahankan setem-setem perkahwinan dirajanya yang “pelik” dan menarik perhatian di seluruh dunia yang dianggap memisahkan Putera Williams daripada bakal isterinya Kate Middleton.

Setem tersebut, yang diluluskan Ratu Elizabeth II, mempunyai belahan untuk dikoyak di antara pasangan diraja tersebut.

Dicantum bersama, ia bernilai NZ$5.80 (RM13.90) tetapi apabila diasingkan, setem putera bernilai NZ$3.40 (RM8.15) dan Middleton pula lebih murah NZ$2.40 (RM5.75).

Perdana Menteri Niue Toke Talagi berkata, beliau telah menerima banyak maklum balas dari seluruh dunia sejak setem itu dikeluarkan bulan lepas dan orang ramai mendapati ia “pelik”.

“Orang menyatakan setem itu, yang dibuat Pos New Zealand, bermakna pasangan berkenaan akan berpisah pada masa depan. Saya tidak tahu kenapa mereka menterjemahkannya sebegitu,” kata Talagi.

“Saya rasa ia tidak bermaksud begitu. Saya rasa ia bermaksud kami sangat gembira meraikan perkahwinan diraja berkenaan.”

Walau bagaimanapun, Talagi berkata setem itu boleh merangsang pelancongan di negara tersebut, yang menduduki kawasan pulau seluas 260 kilometer persegi di selatan Lautan Pasifik dan mempunyai hanya 1,400 penduduk sahaja.

Pengurus besar setem Ivor Masters memberitahu berita TV3 di New Zealand bahawa setem itu adalah bahan koleksi bagi mereka yang mengumpul setem dan tidak mungkin akan dikoyakkan kepada dua bahagian sebagai setem pos.

Pengerusi pertubuhan pro-kerabat diraja Monarchy New Zealand Simon O’Connor menggambarkan setem itu aneh tetapi tidak menghina.

Presiden kelab New Zealand Stamp Collectors Steven McLachlan berkata, beliau menjangka setem itu akan terbukti popular. — AFP