Berebut kolam dengan rumput
by Sudan Ajang
February 21, 2010, Sunday
Sepanjang 35 tahun lalu murid-murid SK Rancangan Sepupok terpaksa ‘bersaing’ dengan rumput alga yang tumbuh di kolam kotor untuk mandi dan memberus gigi

TIADA PILIHAN: Jimba (paling kiri) bersama rakan-rakannya yang merupakan murid SK Rancangan Sepupok sedang mandi di kolam berhampiran sekolah. Manakala dalam gambar kecil, Napi (kanan) menunjukkan dua murid sekolah berusaha mengambil air kolam untuk mandi.
BATU NIAH: Setiap hari sebelum mandi dan menggosok gigi, Jimba Bungat, 9, terpaksa membuang rumput rumpai yang tumbuh di kolam berhampiran sekolah berasramanya, Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Sepupok, kira-kira 100 kilometer dari bandar raya Miri.
Selain ditumbuhi rumput alga, air kolam yang berwarna kehijauan dan berbau hanyir itu juga turut menyebabkan Jimba mengalami gatal-gatal kulit kerana menggunakan air yang tercemar dan kotor.
Murid Tahun Tiga itu merupakan antara 88 murid asrama sekolah itu yang terpaksa ‘bersaing’ dengan rumput rumpai yang tumbuh di kolam itu untuk mandi, memberus gigi dan mencuci pakaian.
Namun mereka tiada pilihan, dan apa yang menyedihkan sekolah itu tidak pernah menerima bekalan air paip sejak ia dibina 35 tahun lalu. Perkara ini diakui sendiri oleh wartawan Utusan Borneo yang juga bekas pelajar sekolah berkenaan dari tahun 1983 hingga 1988.
Justeru ketika tinjauan Utusan Borneo ke situ semalam, mendapati keadaannya yang masih tidak berubah, sama seperti masih bersekolah di situ.
Utusan Borneo difahamkan, kolam yang lebih besar di sekolah itu terpaksa ditutup kerana pencemaran kumbahan najis manusia, menyebabkan semua murid di situ terpaksa menggunakan sebuah lagi kolam berhampiran yang lebih kecil.
Namun kolam tersebut terpaksa dihadkan penggunaannya kerana ibu bapa mendakwa pernah melihat beberapa ekor buaya di dalam kolam, menyebabkan murid sekolah terpaksa mandi di tebing kolam yang airnya keruh dan hitam.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Napi Madang, 48, berkata, walaupun negara sudah lama merdeka namun murid-murid dan guru-guru di sekolah itu masih belum lagi merasai buah kemerdekaan itu.
“Mereka masih bergantung kepada air kolam yang berwarna hijau dan air hujan untuk mandi, memberus gigi, mencuci pakaian dan pinggan mangkuk,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sekolah itu semalam.
Katanya, rumput alga yang tumbuh di dalam kolam itu sukar untuk dihapuskan dan ada di antara murid mengalami gatal-gatal kulit kerana rumput dan air kolam yang kotor.
Napi amat berharap agar kerajaan dapat menyediakan bekalan air paip terawat memandangkan jaraknya dari pekan Batu Niah hanya 3.5 kilometer.
Menurut Napi, permohonan bekalan air paip terawat pernah dikemukakan kepada Kementerian Kemudahan Awam Sarawak pada 16 Oktober 2007.
Setiausaha Tetap Kementerian Kemudahan Awam dalam surat balas bertarikh 28 Disember 2007 menyatakan, sekolah tersebut telahpun dimasukkan bersama dengan rumah panjang dan penempatan semula lain di sepanjang Jalan Sebato Niah di bawah peruntukan bekalan air terawat bagi projek bekalan air luar bandar.
Menurut surat itu, projek berkenaan dicadangkan untuk pelaksanaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dianggarkan bernilai RM5 juta, bagaimanapun projek tersebut adalah tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Kementerian Kemudahan Awam dalam surat tersebut memberi pilihan lain sekiranya Kementerian Pelajaran dapat menyediakan peruntukan yang sewajarnya untuk penyambungan saluran paip utama ke sekolah sahaja.
Dalam hal ini, skop kerja adalah termasuk pemasangan saluran paip sepanjang 2.3 kilometer ke sekolah dengan anggaran kos sebanyak RM1,010,000.
Sementara itu, ibu bapa yang ditemui, Kalong Arin, 50, berkata mereka benar-benar berharap agar kerajaan dapat menyediakan bekalan air terawat ini untuk keselesaan murid-murid dan kakitangan sekolah.
“Kami begitu sedih melihat anak-anak yang terpaksa ‘bersaing’ setiap hari dengan rumput untuk menggunakan air kolam tersebut,” katanya keadaan itu sudah berlarutan terlalu lama iaitu lebih tiga abad yang lalu.
Enju Nyaling, 52, pula berpendapat, sekolah itu sudah lama beroperasi dan sepatutnya sudah mempunyai bekalan air bersih namun sebaliknya air kolam yang digunakan cetek dan berlumpur, tidak ubah seperti tempat kerbau berkubang.
Sementara itu sekolah berkenaan mempunyai 170 murid termasuk prasekolah daripada lapan rumah panjang di Skim Rancangan Sepupok Niah, dengan sebahagian besar daripada mereka tinggal di asrama sekolah.


