Rakyat Sarawak mengundi

0

PERSIAPAN TERAKHIR: Abdul Aziz menunjukkan gambar isyarat ‘Tolong Senyap’ semasa tinjauan persiapan terakhir SPR sempena Pilihan Raya DUN Sarawak ke-10 di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Kuching, semalam. ­— Gambar Bernama

979,796 pengundi akan tentukan parti mana dapat mandat membentuk kerajaan negeri

KUCHING: Selepas berhempas pulas berkempen dan berperang poster bagi meraih undi selama 10 hari sejurus penamaan calon pada 6 April lalu, hari ini kuasa memilih calon pilihan berada di tangan 979,796 pengundi, dan seterusnya akan menentukan parti mana memiliki mandat membentuk kerajaan negeri menerusi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-10.

Sepanjang tempoh kempen, hampir semua para pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang datang ke Sarawak dan memberi ceramah serta menghadiri majlis rasmi dalam usaha memastikan hati para pengundi tertarik dengan parti masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkempen di hampir seluruh pelosok negeri, bermula hujung minggu lepas hingga semalam.

Tidak ketinggalan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.

Antara agenda utama cuba ditangkis BN susulan dibangkitkan pembangkang ialah, tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), sekatan pengedaran kitab Injil bahasa Malaysia di kalangan penganut Kristian, dakwaan rasuah dan salah guna kuasa, isu keseimbangan agihan ekonomi dan layanan kerajaan terhadap sekolah aliran Cina.

Selain menangkis serangan pembangkang, sejak DUN dibubarkan pada 21 Mac, BN komited dalam menjelaskan nikmat pembangunan yang dilaksanakan dan dirancang mereka dalam usaha membuktikan mandat diberi rakyat dalam lima tahun lepas tidak disia-siakan.

Mereka turut menggariskan sembilan perkara utama menerusi manifesto yang bertema ‘Bersama Memajukan Sarawak’ yang menyimpulkan apa yang bakal dilaksanakan BN jika diberi mandat membentuk kerajaan untuk tempoh lima tahun lagi.

Pakatan pembangkang pula melancarkan manifesto dengan tajuk ‘Kami Menjulang Kedaulatan Rakyat, Ketuanan Rakyat’ yang menggariskan 10 perkara.

Bagaimana para pengundi menilai dua manifesto tersebut dan diterjemahkan dalam bentuk undi pada hari ini, keputusan itu bakal diketahui menjelang tengah malam ini.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tempoh 10 hari berkempen yang berakhir semalam merupakan kempen umum yang aman, harmoni dan tenteram.

Ini kerana sepanjang tempoh itu SPR tidak menerima sebarang perkara yang serius berkaitan aktiviti berkempen, jelasnya.

“Kempen berjalan dengan baik dan saya tidak menerima laporan daripada pihak polis sehingga hari ini (semalam) tentang ada berlakunya pergaduhan, kecederaan dan pukul-memukul.

“Cuma yang adapun adalah perkara kecil berbentuk kempen tidak ada permit, mengoyakkan gambar atau poster calon, simbah cat atau lumpur,” katanya pada sidang media di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, semalam.

Abdul Aziz turut memberi amaran kepada wakil parti politik bertanding yang menjadi pemerhati di bilik mengundi agar tidak melampau sehingga mengganggu petugas SPR.

Katanya ia bagi mengelakkan apa yang berlaku semasa Pilihan Raya Kecil di Sibu Mei 2010 berulang lagi kali ini.

“Saya berharap dan mengingatkan mana-mana wakil parti politik yang dijemput menjadi saksi dalam bilik mengundi sama ada undi biasa atau undi pos agar tidak melampau.

“Ini kerana yang berkuasa penuh di situ (bilik mengundi) adalah ketua tempat mengundi… jangan apa yang berlaku di Sibu berulang lagi kerana kami juga tidak mahu disebabkan perkara sedemikian ia melewatkan (pengumuman keputusan),” katanya.

Di sebalik kehangatan tohmahan terhadap BN dan para pemimpinnya, pembangkang diselubungi dengan isu yang dikhuatiri menjejaskan sokongan iaitu video lucah yang dikaitkan dengan Anwar.

Terbaru, pembangkang yang sering melaungkan-laungkan slogan ‘Jom Ubah’ itu menerima tempias apabila Raja Petra Kamaruddin (RPK) mendedahkan wujud konspirasi dalam mengaitkan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Kempen turut diperluaskan dengan penggunaan teknologi moden seperti Internet menerusi blog dan Facebook, serta SMS daripada kedua-dua pihak utama terbabit dalam pilihan raya negeri ini.

Menjelang keputusan diumumkan, tumpuan khusus wajar diberikan kepada 18 calon muka baru yang diketengahkan BN, pertandingan di kerusi-kerusi panas dan pertandingan di kerusi majoriti pengundi Cina.

BN meletakkan calon baru di Demak Laut yang mempertaruhkan Dr Hazland Abang Hipni, Padungan (Sim Kiang Chiok), Pending (Dr Sim Kui Hian), Batu Lintang (Sih Hua Tong), Kedup (Martin Ben), Sadong Jaya (Aidel Lariwoo), Beting Maro (Razaili Ghapor), Belawai (Datu Len Talif Salleh), Semop (Abdullah Saidol), Meradong (Ling Kie King), Bukit Assek (Chieng Buong Toon), Dudong (Datuk Tiong Tai King), Nangka (Dr Anuar Rapa’ee), Pelagus (Stanley Unja), Kidurong (Henry Ling), Lambir (Ripin Lamat), Telang Usan (Dennis Ngau) dan Ba’Kelalan (Willie Liaw).

Kawasan-kawasan yang membabitkan majoriti pengundi Cina dan bakal menyaksikan usaha SUPP mempertahankan serta berusaha merampas kembali kerusi berkenaan ialah Padungan, Pending, Batu Lintang, Batu Kawah, Kota Sentosa, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Kidurong, Piasau, Pujut dan Senadin.

Berdasarkan sambutan rakyat, kerusi di luar bandar yang banyak membabitkan pertaruhan antara PBB, SPDP dan PRS dijangka masih selamat, sekali gus mampu membawa kemenangan kepada BN dengan dua pertiga majoriti.

Pilihan raya negeri kali ini turut mencatat sejarah apabila semua 71 kerusi dipertandingkan dan paling ramai calon Bebas bertanding. BN, parti pemerintah, mempertaruhkan calon di semua kawasan, PKR 49, SNAP 26, DAP 15, Parti Cinta Malaysia (PCM) 6, PAS 5 dan BEBAS 41, menjadikan jumlah calon 213.

Sepanjang tempoh kempen, SNAP yang bertanding merebut 26 kerusi kelihatan kurang menyerlah liputannya di media massa berbanding BN dan pakatan pembangkang, apatah lagi 41 calon Bebas.

Sebelum ini, ada khabar angin mengatakan SNAP dan beberapa calon Bebas ditaja oleh BN bagi tujuan memecah undi. Kenyataan itu bagaimanapun disanggah pemimpin BN dan SNAP. Nasib SNAP dan calon Bebas juga akan ditentukan pada hari ini.

Pilihan raya negeri kali ini juga merupakan yang terakhir bagi Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud apabila beliau mengumumkan pelan persaraannya dalam dua hingga tiga tahun lagi.

Menerusi pilihan raya negeri kesembilan pada 2006, BN menguasai 63 kerusi dengan pecahan PBB memiliki 35 kerusi, SUPP 12 serta PRS dan SPDP, masing-masing 8. DAP memiliki enam kerusi, Parti Cinta Malaysia 1 dan PKR 1.