Kawalan lemah:

1



DALANG: Richard Riot menunjukkan gambar lelaki warga Afrika yang dipercayai menawarkan RM5,000 kepada pelajar Sarawak yang berasal dari Betong, untuk menyeludup dadah ke China, menerusi Facebook.

Riot Pelajar Sarawak mangsa terbaru ‘keldai dadah’ yang ditahan pihak berkuasa China kerana menyeludup dadah jenis heroin

KUCHING: Kelemahan kawalan di pintu keluar masuk (di lapangan terbang) dalam negara adalah punca kepada berlakunya kes penyeludu-pan dadah ke luar negara membabitkan warga tempatan yang menjadi mangsa ‘keldai dadah’.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot bagaimanapun enggan memberi komen berhubung punca kelemahan-kelemahan ini kerana ia di luar bidang kuasa beliau.

Tetapi menurutnya, pihak-nya akan mengetengahkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet untuk kajian dan tindakan segera bagi membendung perkara ini daripada terus berleluasa.

“Kita tidak menafikan bahawa kelemahan di pintu keluar masuk negara adalah antara punca kepada berlakunya kes penyeludupan keluar dadah membabitkan warga negara ini.

“Bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak berhubung kelemahan ini kerana ia di luar bidang kuasa kita… tetapi bagi pihak kementerian perkara ini akan dibawa ke mesyuarat kabinet untuk dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Sultan Iskandar di sini semalam berhubung kes terbaru membabitkan pelajar dari Sarawak yang ditahan pihak berkuasa China kerana menyeludup dadah jenis heroin, baru-baru ini.

Richard yang kecewa dengan kes terbaru tersebut turut melahirkan kebimbangan dengan taktik baru yang digunakan oleh warga asing untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai keldai dadah menerusi laman sosial Facebook.

Katanya, kebimbangan tersebut mendorong beliau untuk menasihatkan warga negara terutama golongan pelajar dan ibu tunggal agar tidak mudah mempercayai rakan baru yang dikenali terutama menerusi Facebook.

“Sehingga kini untuk tahun 2011 sahaja, sebanyak 11 kes penyeludupan dadah membabitkan penahanan warga negara oleh pihak berkuasa di Guangzhaou, China telah berlaku termasuk dari Sarawak.

“Daripada jumlah tersebut sembilan orang adalah lelaki dan dua lagi wanita dan kesemuanya membabitkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur,” katanya.

Bercakap mengenai kes terbaru, Rabu lalu, ia membabitkan pelajar kejururawatan Kolej Segi di Kota Damansara, Marylyne Sandra Sapat, 22, ditahan pihak berkuasa China kerana menyeludup 100 biji dadah jenis heroin dengan cara menelannya.

Mangsa kini di bawah tahanan pihak berkuasa China dipercayai ditawarkan RM5,000 untuk menyeludup dadah berkenaan oleh rakan Facebook lelaki warga Afrika yang hanya dikenali sebagai Chimezie Michael dalam akaun Facebook.