Bukan semua permintaan pembangunan dapat dipenuhi sekelip mata, kata Abdullah

0

KUCHING: Semua permintaan terutamanya berkaitan dengan pembangunan mungkin tidak dapat dipenuhi dengan sekelip mata tetapi tidak bermakna tiada usaha untuk melaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Begitulah kesungguhan dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol yang meraih kemenangan pada pilihan raya lalu.

Kata beliau, ini kerana kegigihan sedemikian sudah menjadi tanggungjawab apabila individu itu dipilih sebagai ‘wakil’ sama ada di peringkat akar umbi atau ADUN.

“Mungkin kita tidak dapat memenuhi semua permintaan dengan sekelip mata atau gagal mendapat kelulusan daripada pihak atasan atas alasan tertentu tetapi sekurang-kurangnya kita mencuba dengan bersungguh- sungguh,” katanya kepada Utusan Borneo.

Abdullah berkata, sebagai wakil rakyat baru di konstituensi itu, antara langkah pertama yang beliau akan usahakan adalah mengadakan perjumpaan secara rasmi dengan Datuk Norah Abdul Rahman (Ahli Parlimen P206-Tanjung Manis).

“Ia untuk mendapatkan panduan dan nasihat tentang keadaan di konstituensi Semop dan seterusnya mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua kaum serta pemimpin parti di peringkat akar umbi,” katanya.

Baginya semua itu penting bagi mendapatkan gambaran awal tentang berbagai-bagai perkara terutama berhubung struktur dan gaya bekerja di peringkat akar umbi yang menjadi keutamaan.

Tegasnya, sistem pengurusan dan komunikasi yang teratur serta efektif antara pihak akar umbi dengan wakil rakyat perlu ada atau dikemas kini agar permasalahan rakyat dapat disalur, diurus dan ditadbir serta dipantau dengan berkesan.

“Kemudian barulah kita mengenal pasti permasalahan yang perlu diberi perhatian.

“Saya mahu peranan menyelesaikan masalah-masalah rakyat ini dipikul dalam satu bentuk pengurusan yang berasaskan ‘inclusiveness’.

“Maknanya sikap prihatin dan keinginan warga desa ini harus dipikul dalam semangat kekeluargaan serta bertanggungjawab dan bukan diserah bulat-bulat kepada wakil rakyat,” katanya.

Berhubung permasalahan yang dihadapi rakyat di kawasan Semop beliau menjelaskan secara ringkasnya keinginan kebanyakan warga desa Semop adalah supaya kerajaan mempercepatkan pembangunan kemudahan asas di tempat mereka.