Tingkat sistem penyampaian PBT

0

YANG TERBAIK: Pasukan KADICO yang mewakili Majlis Daerah Kapit merakamkan kenangan bersama Abdul Ghafur (dua kanan) dan Dr Penguang (kanan) selepas dinobatkan johan kategori majlis daerah KIK Peringkat PBT Negeri Sarawak, malam kelmarin.

Konvensyen KIK kenal pasti modal insan, lahir Pasukan Berprestasi Tinggi

SIBU: Konvesyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Sarawak 2011 menjadi platform yang sangat relevan dalam usaha Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam (KASKA) dan PBT mengharungi Transformasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak ke arah mencapai visi Perkhidmatan Awam Berkelas Dunia (‘A World Class Civil Service’).

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Sumber Manusia), Datu Abdul Ghafur Shariff berkata, penganjuran konvensyen turut dilihat sebagai satu perkembangan yang sangat positif dan secara sendirinya satu pendekatan yang kreatif dan inovatif dalam mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan PBT.

“Selain itu, konvensyen ini merupakan platform yang sangat sesuai untuk mengenal pasti dan membina modal insan yang berketerampilan tinggi dan seterusnya melahirkan Pasukan Berprestasi Tinggi di kalangan kakitangan PBT Negeri Sarawak,” ujarnya ketika menyempurnakan perasmian Konvensyen KIK Peringkat PBT Negeri Sarawak di sini, malam kelmarin.

Abdul Ghafur berkata, inisiatif seperti itu adalah bertepatan dengan hala tuju kerajaan negeri untuk mempromosikan KIK dan penubuhan Pasukan Berprestasi Tinggi dalam budaya kerja seharian dan menyelesaikan masalah-masalah di peringkat organisasi masing-masing melalui penjanaan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif.

“Melalui konvensyen seperti ini, saya yakin akan terbentuknya satu Komuniti Berprestasi Tinggi di kalangan PBT Negeri Sarawak dan ini akan memantapkan lagi sistem penyampaian masing-masing melalui pendekatan kreatif dan inovatif serta kerjasama erat antara KASKA dan PBT di seluruh negeri,” ujar beliau.

Sementara itu, Setiausaha Tetap KASKA, Dr Penguang Manggil berkata, selain konvensyen KIK, pihak KASKA juga mengambil inisiatif lain menerusi Program Transformasi Kerajaan dalam usaha meningkatkan produktiviti kerja.

“Ini termasuk mewujudkan Pelan Strategik KASKA, pensijilan 5S, pensijilan MS ISO 9001:2008, merangka polisi dalam memperkukuhkan struktur, sistem, proses kerja dan sumber manusia dengan menggerakkan pembangunan organisasi Pihak Berkuasa Tempatan.

“Selain itu, pembangunan sistem teknologi maklumat ‘eLA,’ pembangunan 20 tajuk ‘Key Focus Activities’ dan garis panduan serta ‘Standard Operating Procedures,’ Pelan Strategik Latihan dan Pembangunan Sumber Manusia PBT serta pelaksanaan sistem ‘star rating’,” jelas beliau.

Sebanyak 29 buah pasukan KIK daripada 24 PBT Negeri Sarawak mengambil bahagian pada konvensyen julung kalinya dianjurkan oleh KASKA dalam usaha meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja.

KIK merupakan mekanisme pengurusan yang berkesan untuk membina modal insan dalam perkhidmatan awam yang berketerampilan tinggi bagi merealisasikan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan agensi-agensi kerajaan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Sehubungan itu, pasukan KIK RGT-5 yang mewakili Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berjaya merangkul johan KIK kategori bandar raya dan perbandaran pada konvensyen berkenaan.

Kumpulan RGT-5 dengan projek mempercepatkan proses membuat pelarasan pindaan senarai nilaian, membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai bernilai RM1,000 serta sijil penyertaan.

Naib johan menjadi milik pasukan PH-Q3 yang mewakili Majlis Bandaraya Miri (MBM) dengan projek pembuangan sisa makanan dan minyak ke dalam saliran air, menerima hadiah berupa trofi, wang tunai bernilai RM800 serta sijil penyertaan.

Pasukan Khutub Khanah yang turut mewakili Majlis Bandaraya Miri (MBM) mendapat tempat ketiga dengan projek buku-buku yang dipinjam lewat dikembalikan dalam tempoh yang ditetapkan dan membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai bernilai RM500 serta sijil penyertaan.

Kumpulan Flying Colours yang mewakili Majlis Perbandaran Sibu (MPS) pula diumumkan pemenang persembahan terbaik kategori bandar raya dan perbandaran KIK dan mendapat hadiah berupa trofi.

Majlis Daerah Kapit (MDK) yang diwakili oleh pasukan KADICO pula dinobatkan johan kategori majlis daerah dengan projek kaunter khidmat pelanggan yang sistematik, membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai bernilai RM1,000 serta sijil penyertaan.

Pasukan Belalang yang mewakili Majlis Daerah Betong dengan projek peningkatan pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal meraih tempat kedua sekali gus mendapat hadiah berupa trofi, wang tunai bernilai RM800 serta sijil penyertaan.

Majlis Daerah Lundu yang diwakili oleh pasukan Rafflesia Gading dengan projek tunggakan lesen gerai Majlis Daerah Lundu mendapat tempat ketiga dan membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai bernilai RM500 serta sijil penyertaan.

Kumpulan Fortress Emma yang mewakili Majlis Daerah Kanowit pula diumumkan pemenang persembahan terbaik kategori majlis daerah KIK dan membawa pulang hadiah berupa trofi.