Enam hektar kawasan belukar terbakar sudah dipadam: Bomba
March 7, 2010, Sunday
MIRI: Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Alli Bema berkata pihaknya setakat semalam telah memadam hampir enam hektar kawasan belukar yang terbakar di sekitar Jambatan Asean.
Beliau berkata, usaha pemadaman kawasan yang terbakar dan berasap sudah dimulakan sejak beberapa hari lepas bagi mengelak api merebak ke tempat lain.
“Anggota kita dari semasa ke semasa memantau kawasan yang masih terbakar dan berasap terutamanya di sekitar belukar Jambatan Asean dan kini (semalam) ia sudah dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beberapa kawasan sekitar Tudan, Senadin, Permyjaya dan Jambatan Asia dilaporkan terbakar disebabkan aktiviti pembakaran terbuka oleh petani kecil dan pemilik ladang yang mengambil kesempatan bercucuk tanam.
“Kita sebelum ini sudah beberapa kali menasihatkan pekebun kecil supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya di tepi-tepi jalan tetapi mereka masih berdegil dan meneruskan aktiviti itu,” katanya.
Menurut Alli lagi, pihaknya kelmarin hanya menerima satu sahaja aduan berkaitan aktiviti pembakaran terbuka yang mengakibatkan jerebu terutamanya di kawasan Kuala Baram, Tudan, Desa Senadin dan kawasan sekitarnya.
“Kami menggesa pemilik tanah supaya menghentikan aktiviti pembakaran terbuka terutamanya pada musim kering ketika ini kerana ia boleh membawa kesan buruk khususnya jerebu,” katanya.
Tinjauan Utusan Borneo di beberapa kawasan terjejas mendapati asap dan jerebu akibat pembakaran terbuka kelihatan jelas dari beberapa jalan utama sekitar Miri.
Malahan, penduduk di sekitar kawasan terjejas sukar untuk bernafas terutamanya pada sebelah malam kerana persekitaran rumah mereka diselubungi asap atau jerebu akibat kesan daripada pembakaran terbuka.
“Pun begitu, semua kawasan yang sebelum ini terbakar sudah dikawal sepenuhnya termasuk kawasan sekitar Kompleks Lembaga Kebajikan Anak Yatim Sarawak (LKAYS), Kompleks Hamidah,” katanya.
Menurut Alli, pekebun kecil ini sering melanggar arahan walaupun sudah menerima notis amaran daripada pihak berkuasa tempatan malahan masih terus berdegil dan melakukan aktiviti sama.
“Kesalahan berulang ini bukan sahaja membebankan petugas malahan kesalahan sama membuktikan bahawa pekebun kecil ini tiada kesedaran tentang penjagaan alam sekitar,” katanya.


