MBKS tutup outlet Telelink yang beroperasi semula
March 11, 2010, Thursday
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menutup dua outlet Telelink di bandar raya ini semalam apabila mereka (pengusaha Telelink) beroperasi semula selepas tindakan yang sama (penutupan) dilakukan sebelum ini.

PENUTUPAN KALI KEDUA: Pegawai-pegawai penguatkuasa MBKS menutup dan mengunci dengan mangga outlet Telelink di Sekama.
Operasi serentak bermula jam 10 pagi di outlet Sekama dan Kenyalang Park dilakukan dua pasukan penguat kuasa dengan bantuan polis daripada Balai Polis Sekama.
Pegawai-pegawai telah menyita dan merampas papan keputusan dan set komputer di belakang kaunter jualan.
Mereka juga merekodkan kenyataan daripada para pekerja di kedua-dua outlet sebelum menutup dan mengunci dengan mangga premis-premis berkenaan.
Operasi selama setengah jam berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Menurut sumber, kedua-dua outlet Telelink di bawah kawasan MBKS sebelum ini telah ditutup tetapi mereka membuka lagi untuk perniagaan.
Pada 12 Februari lalu, MBKS telah menutup enam premis outlet Telelink.
Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Dato Sri Wong Soon Koh berkata premis-premis Telelink/NFT yang beroperasi di negeri ini adalah tidak sah.
Menurutnya, tindakan akan diambil berdasarkan undang-undang yang relevan untuk menutup premis perjudian tersebut yang beroperasi di negeri ini.
“Premis Telelink/NFT yang beroperasi di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Kependudukan Am, Pihak Berkuasa Tempatan diarahkan untuk menghentikan operasi serta-merta.
“Kerajaan negeri menganggap operasi perniagaan premis Telelink/NFT di negeri ini sebagai menyalahi undang-undang,” katanya.


