Lelaki hadapi tuduhan menipu rakan

0

KUCHING: Seorang lelaki berusia 38 tahun dari Kuarters Pertanian di Kota Samarahan didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menipu wang daripada tiga individu berlainan.Melvin Langum didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas tiga tuduhan menipu tiga lelaki terbabit iaitu Layang Lupang, Edwin Alim dan Mohd Mujahidin Abdullah.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Layang dengan meminta mangsa memasukkan wang sejumlah RM1,500 ke dalam akaunnya di Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 24 Februari sekitar jam 11.12 pagi.

Sementara itu, pertuduhan kedua, dia didakwa menipu Edwin Alim pada 20 Februari, sekitar jam 2.04 petang di BSN Cawangan Kota Sentosa dengan meminta Edwin memasukkan wang sebanyak RM1,300 ke dalam akaunnya.

Dalam pertuduhan ketiga, dia didakwa menipu Mohd Mujahidin Sonata Abdullah pada 21 Februari, sekitar jam 6.17 petang di BSN Tabuan Jaya membabitkan wang berjumlah RM600.

Menurut fakta kes, Melvin didakwa membuat panggilan kepada Layang, Edwin dan Mohd Mujahidin dan memperkenalkan dirinya sebagai Kalong, iaitu kawan abangnya.

Dia didakwa memberitahu ketiga-tiga mangsanya bahawa abangnya telah mengalami kemalangan di Sabah dan meminta wang tersebut untuk membayar rawatan.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Majistret Portia Tham Ong Leng.

Melvin dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua orang penjamin tempatan untuk tuduhan pertama dan kedua, manakala untuk pertuduhan ketiganya dia dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2,000 serta dua penjamin.

Majistret menetapkan 2 dan 6 Ogos untuk mendengar pertuduhan pertama dan 11 dan 12 Ogos untuk pertuduhan kedua, manakala pertuduhan ketiga akan didengar pada 9 dan 10 Ogos.

Cif Inspektor Jawai bertindak sebagai pendakwa kes.