K’jaan iktiraf kepentingan lindungi, pulihara dan guna sumber biologi

0

KUCHING: Kerajaan negeri telah lama mengiktiraf kepentingan melindungi, memulihara dan menggunakan sumber-sumber biologi secara lestari di negeri ini, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

RASMI: Awang Tengah (tiga kiri) memukul gong sebagai simbolik perasmian Forum Sumber Biologi Sarawak 2010 sambil disaksikan oleh Len (kanan), Timbalan Dekan Fakulti Sains Universiti Brunei Darussalam Profesor Emeritus Dato Mohamad Abdul Majid (kiri), Pengerusi Ecological Society Profesor Tohru Nakashizuka (dua kiri) dan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Hutan Sarawak Ngui Siew Kong (dua kanan).

RASMI: Awang Tengah (tiga kiri) memukul gong sebagai simbolik perasmian Forum Sumber Biologi Sarawak 2010 sambil disaksikan oleh Len (kanan), Timbalan Dekan Fakulti Sains Universiti Brunei Darussalam Profesor Emeritus Dato Mohamad Abdul Majid (kiri), Pengerusi Ecological Society Profesor Tohru Nakashizuka (dua kiri) dan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Hutan Sarawak Ngui Siew Kong (dua kanan).

Sehubungan itu katanya, pelbagai dasar dan agensi kerajaan telah dibentuk untuk memastikan kerajaan negeri mencapai matlamat tersebut.

“Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan negeri amat komited dan fokus terhadap isu berhubung sumber-sumber biologi menerusi pembentukan dasar dan agensi kerajaan,” katanya berucap merasmikan Forum Sumber Biologi Sarawak 2010 di sini semalam.

Menurut beliau, antara agensi-agensi kerajaan yangdibentuk ialah seperti Jabatan Hutan Sarawak, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC), taman-taman negara dan banyak lagi.

Awang Tengah berkata, pelbagai usaha juga telah dilakukan untuk memulihara dan melindungi kawasan hutan di negeri ini seperti Kawasan Hutan Kekal dan Kawasan Dilindungi Sepenuhnya.

“Kerajaan telah membentuk kawasan seluas enam juta hektar sebagai Kawasan Hutan Kekal dan satu juta hektar sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya.

“Kini, negeri ini telah mewartakan sebanyak 31 kawasan perlindungan serta Taman Negara Bako yang kaya dengan sumber biologi,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga telah menubuhkan institusi-institusi pengajian tinggi untuk membina modal insan yang relevan dalam konteks penyelidikan.

Justeru, beliau menyarankan sektor-sektor swasta bersama-sama memainkan peranan dengan kerajaan dalam usaha membangunkan sektor perhutanan.

Sementara, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber yang juga Pengarah Jabatan Hutan Datu Len Talif Salleh berkata kerajaan negeri komited dalam menyediakan dan memastikan sumber biologi dipelihara dalam ekosistem semula jadi.

“Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011 hingga 2015), Jabatan Hutan telah memohon bajet yang tinggi daripada kerajaan persekutuan dan kebanyakannya adalah untuk program-program berorientasikan penyelidikan.

“Pihak jabatan telah menetapkan pewartaan lebih banyak kawasan yang dilindungi sepenuhnya sebagai penanda prestasi utama yang penting untuk tahun 2010,” katanya.

Katanya, Jabatan Hutan bersedia menjalankan kerjasama tempatan dan antarabangsa dengan institusi- institusi pendidikan dan lain-lain bagi meningkatkan lagi kapasiti teknikal dalam penyelidikan menerusi pemindahan teknologi serta mempromosikan jaringan dan perkongsian maklumat.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), memberitahu Santuari Hidupan Liar Lanjak Entimau dengan hutan dara seluas 167,000 hektar merupakan antara kawasan dilindungi sepenuhnya yang dipelihara dan dilindungi untuk sumber biologi.

Forum Sumber Biologi Sarawak 2010 yang bertemakan ‘Highlighting Sarawak As A Global Mega Biodiversity’ Menghimpunkan saintis-saintis tempatan dan antarabangsa, mengumpul, mendokumentasikan dan menyebar pelbagai inisiatif penyelidikan mereka mengenai sumber biologi di Sarawak selain merangka keperluan penyelidikan negeri pada masa depan dalam sumber biologi.

Forum tersebut yang bermula 29 hingga 31 Mac ini menerima penyertaan daripada Jepun, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Wildlife Conservation Society, Akademi Sains Malaysia, ITTO, Universiti Putra Malaysia, Tabung Hidupan Liar Sedunia, Institut Penyelidikan Perikanan Sarawak, Sarawak Planted Forest Sdn Bhd, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Pertanian Sarawak, Swinburne University of Technology, Lincoln University, Malaysia Nature Society, SBC dan pegawai-pegawai Jabatan Hutan Sarawak.