Unit amanah bantu pemilik tanah menjana pendapatan
April 11, 2010, Sunday
KUCHING: Satu unit amanah baru akan diwujudkan di bawah Amanah Saham Sarawak (ASSAR) pada tahun depan, yang memberikan faedah kepada kaum Bumiputera di negeri ini yang tidak mempunyai tanah lebih daripada 10 ekar untuk menjana pendapatan.

PERLEMBAGAANKU: Taib melihat isi kandungan Perlembagaan Persekutuan sambil disaksikan oleh Richard (kanan) dan Tang ketika melancarkan Kempen Perlembagaanku di Kuching, semalam.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata kerajaan negeri akan menyumbang kira-kira RM50 juta atau lebih sebagai dana kepada ASSAR untuk membeli semua syer yang diagihkan di bawah perjanjian usaha sama.
“Kita mendapati mereka yang memiliki tanah kurang daripada 10 ekar merasakan aset mereka bernilai, tetapi semua pemilik tanah asal ini sudah tua dan mereka mahu menjual tanah atau mendapatkan wang tunai lebih awal.
“Terdapat ramai kalangan mereka sehinggakan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (LCDA) tidak dapat menanganinya, maka itu peruntukan sebanyak RM50 juta atau lebih disalurkan kepada ASSAR sebagai dana untuk membeli semua bahagian yang diagihkan di bawah perjanjian usaha sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Kempen Perlembagaanku di Hotel Pullman di sini semalam.
Justeru, Taib berkata penubuhan unit amanah baru itu diyakini mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pemilik tanah asal terbabit.
“Kita menghormati kepentingan pemilik asal. Dengan unit amanah baru ini, bahagian tanah boleh ditukar seperti bahagian biasa yang lain di pasaran dan tidak ada sebarang kerajaan boleh mengganggunya,” katanya.
Terdahulu, beliau menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya dianggap sebagai instrumen undangundang tetapi revolusi bagi sosioekonomi dan budaya masyarakat yang bergerak sejajar dengan peredaran masa.
Menurutnya, rakyat Malaysia perlu memahami dan mengetahui Perlembagaan Persekutuan agar wujud persekitaran yang aman dan harmoni di kalangan masyarakat.
Hadir sama ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum dan Presiden Persatuan Peguam Bela Sarawak Frank Tang.


