Samun kereta VIP hanya kebetulan



KUALA LUMPUR: Polis percaya kegiatan samun kenderaan milik orang kenamaan yang berlaku tiga kali dalam tempoh sebulan kebelakangan ini, kesemuanya melibatkan kereta Proton Perdana V6, adalah hanya kebetulan dan bukanlah dirancang.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Omar Mamah berkata hasil siasatan awal satu pasukan khas yang dianggotai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Kuala Lumpur mendapati lebih daripada satu kumpulan terlibat dalam samun kereta mewah ini.

“Mereka hanyalah mencuri seperti biasa dan tidak sedar ia milik VIP. Kita belum tahu lagi modus operandi mereka.

“Namun kita tidak menolak kemungkinan mereka akan menjual mana-mana kereta yang disamun atau menggunakan kereta itu untuk melakukan jenayah samun di kawasan Lembah Klang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Kelmarin, kereta Proton Perdana V6 milik Timbalan Menteri Luar Senator A Kohilan Pillay, yang hilang sejak 7 Mei ditemui di Jinjang.

Sebelum itu, kereta rasmi Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar yang dilaporkan dicuri pada 6 Mei di Seksyen 9 di Shah Alam ditemui semula di Prima Damansara, Petaling Jaya, dua hari kemudian.

Rentetan episod kehilangan kereta Perdana V6, yang berharga hampir RM101,500, bermula pada 12 April apabila kereta milik pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan hilang.

Kereta Asisten Ketua Staff Pengurusan Strategi Bahagian Pengurusan Tentera Laut Wisma Pertahanan Laksamana Pertama Datuk Rosli Idrus itu dilaporkan hilang berhampiran parkir sebuah restoran di Wangsa Maju di sini pada jam 12.45 pagi.

Ia ditemui pada 10 Mei dengan mayat seorang lelaki ditemui rentung dalam bonet kereta terbabit yang terbakar di kawasan Ladang Sawit Elmina, Sungai Buloh dekat sini.

Omar berkata pasukan khas yang ditubuhkan itu masih mengumpul maklumat dan tidak menolak kemungkinan mereka yang terlibat termasuk warga asing yang berpengalaman dalam mencuri kenderaan. — Bernama

Related Posts

  • No Related Posts