Undi dijamin rahsia: SPR
May 15, 2010, Saturday
SIBU: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menafikan tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan petugas SPR mengetahui undi orang ramai terhadap siapa calon yang diundi.
“Ini tidak benar sama sekali dan ini adalah khabar angin. Saya meminta pengundi di Sibu jangan bimbang terhadap masalah ini dan SPR menjamin bahawa siapa yang diundi oleh pengundi adalah rahsia serta itu hak pengundi,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa sekarang kerani SPR tidak dibenarkan untuk mencatat nombor siri di kertas undi para pengundi.
Katanya, 10 tahun yang lalu ia memang dicatatkan oleh petugas SPR untuk tujuan semakan jika berlaku masalah keputusan pilihan raya yang dibawa ke mahkamah ekoran ketidakpuasan hati calon-calon yang bertanding.
“Itu dulu, dan kita telah mansuhkan undang-undang terbabit sejak 10 tahun yang lalu,” jelasnya pada sidang media di sini, petang semalam.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di Sibu agar turun beramai-ramai melaksanakan kewajipan pada 16 Mei ini.
“Bagi Parlimen Sibu, kita mempunyai 45 pusat mengundi di mana 22 buah pusat akan ditutup pada jam 5 petang dan selebihnya akan ditutup awal. Saya berharap lebih daripada 75 peratus pengundi di Sibu akan turun mengundi kerana pada pilihan raya umum yang lalu, didapati kurang daripada 75 peratus yang keluar mengundi.
“SPR akan mengumumkan keputusan pilihan raya secepat mungkin, bergantung kepada peti undi yang datang dari kawasan pedalaman kerana kawasan Sibu ini besar,” tambahnya.
Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Pengerusi SPR negeri Datuk Takun Sanggah serta yang lain.


