England seperti hilang taring ketika ketibaan saya: Capello

0

LONDON, England: Fabio Capello mengakui England merupakan sebuah pasukan yang sudah hilang taring ketika ketibaannya selaku jurulatih skuad kebangsaan negara berkenaan namun beliau menetapkan sasaran melangkah ke final Piala Dunia buat skuad yang kelihatan kembali bangkit itu.Semasa Capello tiba di England dua tahun lalu, beliau berdepan sekumpulan pemain dengan keyakinan yang berada pada tahap terendah ekoran kegagalan mereka melayakkan diri ke Euro 2008 di bawah bimbingan Steve McClaren.

Bekas jurulatih AC Milan dan Real Madrid itu pantas bekerja bagi memulihkan kepercayaan skuad dan gayanya yang serius telah perlahan-lahan mengubah sebuah pasukan dengan pencapaian rendah menjadi sebuah unit yang melayakkan diri ke Piala Dunia dengan cara yang mengkagumkan.

Sekarang England bertandang ke Afrika Selatan sebagai salah sebuah pasukan pilihan utama untuk memenangi kejohanan itu dan Capello menegaskan mereka mesti sampai ke peringkat akhir bagi kempen tersebut jika mereka mahu menganggapnya sebagai satu kejayaan.

“Semasa saya tiba dan melihat pemain-pemain, mereka kelihatan seperti sebuah pasukan yang sudah hilang taring. Mereka takut dan tidak ada rasa kekitaan,” katanya.

“Ia benar-benar memeranjatkan. Namun saya membina semula England dari segi psikologi. Saya banyak bercakap dan meletakkan peraturan-peraturan. Saya mengembalikan maruah kepada jersi England.

“Saya memperketatkan selak pintu dan melaksanakan keseriusan dan sekarang kita mempunyai sebuah kumpulan yang mantap.”

England telah diundi untuk menentang Amerika Syarikat, Algeria dan Slovenia dalam kumpulan mereka di Piala Dunia dan walaupun kecederaan dialami beberapa pemain penting pada minggu-minggu terakhir musim Liga Perdana Inggeris, Capello yakin pasukannya boleh melangkah hingga ke garisan terakhir.

“Bagi saya, tidak sampai ke final Piala Dunia adalah satu kegagalan,” tambahnya.

Memandangkan ramai penyokong England menaruh kepercayaan yang sama dengan Capello bahawa pasukannya dapat memenangi Piala Dunia bagi kali kedua, pengurus berbangsa Itali itu mengakui jawatannya sekarang memberi lebih banyak tekanan berbanding kelab-kelab lamanya.

“Sudah tentulah ia tugasan yang sangat berbeza sebagai seorang pengurus kebangsaan berbanding sebagai seorang pengurus kelab,” katanya kepada majalah Persatuan Pengurus-Pengurus Liga, The Manager.

“Tekanan adalah lebih besar sebagai pengurus England. Negara ini menaruh harapan yang tinggi dan para penyokong amat yakin dengan pasukan negara.” — AFP