Kempen membasmi tabiat merokok masih lagi tiada kesan, kata Fatimah

0

KUCHING: Pelbagai kempen tentang bahaya merokok telah diadakan untuk membasmi tabiat merokok di kalangan masyarakat namun ia masih lagi di tahap membimbangkan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata kempen bahaya merokok telah dilakukan sejak bertahun-tahun dahulu namun usaha tersebut seakanakan tidak memberi kesan kepada masyarakat.

“Pelbagai cara dan usaha telah dilakukan kerajaan untuk mengurangkan bilangan perokok di negara ini tetapi ia seakan tidak memberi kesan kepada perokok malah jumlah perokok juga dilaporkan semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.

Tambah beliau lagi, antara usaha yang telah diambil oleh kerajaan adalah dengan menaikkan cukai rokok selain daripada tidak henti-henti menjalankan kempen mengenai bahaya merokok.

Justeru menurut beliau, pencegahan tabiat merokok ini harus bermula dari rumah.

“Guru pertama dan terbaik untuk anak-anak adalah ibu bapa, oleh itu ibu bapa harus memberi contoh yang baik kepada anak-anak kita dengan ibu bapa sendiri tidak merokok.

“Dan sikap itu perlu diterapkan lagi kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi,” katanya.

Selain itu menurut beliau persekitaran kediaman juga memainkan peranan dalam mencegah tabiat merokok di kalangan masyarakat dan golongan remaja khususnya.