Kecederaan bayangi Ivory Coast, Portugal
June 15, 2010, Tuesday
Drogba belum pasti dapat diturunkan malam ini ketika peluang sudah tertutup buat Nani
PORT ELIZABETH, Afrika Selatan: Di atas kertas, pertembungan di antara Ivory Coast dan Portugal malam ini (Selasa) seharusnya menjadi salah satu perlawanan tumpuan pada pusingan pertama kejohanan.

GIGIH BERLATIH: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo memerhatikan rakan sepasukannya, Ricardo Costa (depan) menanduk bola pada sesi latihan pasukan di Magaliesburg, Afrika Selatan semalam. Portugal akan menentang Ivory Coast malam ini. — Gambar Reuters
Namun persediaan untuk pertembungan beberapa bintang utama bola sepak dari Eropah dan Afrika di Stadium Nelson Mandela Bay di Port Elizabeth itu bagaimanapun diselubungi kecederaan.
Portugal, yang membuat penampilan kelima mereka di Piala Dunia, dikejutkan dengan kecederaan tulang bahu pemain sayapnya, Nani dan ini menyebabkan beliau tidak dapat diturunkan sama sekali sepanjang kejohanan.
Ivory Coast, yang tewas di pusingan pertama pada penampilan sulung di Piala Dunia 2006, sudah terjejas teruk dengan kecederaan patah lengan kapten pasukan, Didier Drogba semasa perlawanan persediaan menentang Jepun pada 4 Jun lalu.
Penyerang Chelsea itu menjalani pembedahan dan mungkin masih dapat diturunkan apabila turut menyertai sesi latihan ringan Jumaat lepas.
Jurulatih Ivory Coast, Sven-Goran Eriksson masih berharap Drogba akan dapat diturunkan.
“Beliau semakin bagus setiap hari,” kata Eriksson, yang menjadi jurulatih Ivory Coast selepas Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika pada bulan Januari lalu.
Drogba, 32, menjalani program latihan individu ketika ini dengan Eriksson merancang membuat keputusan mengenai penyertaan Drogba sehingga beberapa minit sebelum sepak mula.
Kepentingannya kepada Ivory Coast dapat dilihat apabila rakan-rakan sepasukannya terlepas beberapa peluang ketika seri 1-1 pada perlawanan pemanas badan menentang kelab divisyen dua Switzerland, Lausanne minggu lepas.
Ketika Ivory Coast, salah sebuah daripada enam pasukan dari benua Afrika di Piala Dunia 2010, layak ke Piala Dunia dengan memenangi kumpulan kelayakan mereka, Portugal hanya layak dengan kemenangan ‘playoff’ kelayakan ke atas Bosnia-Herzegovina.
Kumpulan G diklasifikasikan sebagai Kumpulan Maut dengan dua pasukan ini menyertai juara lima kali, Brazil dan juga pasukan kerdil, Korea Utara.
Dengan kehadiran Brazil, keputusan perlawanan malam ini mungkin akan menentukan siapa yang mungkin akan menyertai Brazil ke pusingan kedua dan juga berkemungkinan akan menentang Sepanyol di pusingan kedua.
Pemain sayap Portugal, Simao berharap untuk mengelak Sepanyol dengan memenangi kumpulan itu.
“Ia pastinya sukar jika Portugal berhadapan Sepanyol di pusingan kedua kerana mereka adalah juara Eropah,” kata pemain berusia 30 tahun itu.
Beliau dalam pada itu mengenepikan khabar angin mendakwa beliau tidak sehaluan dengan bintang utama, Cristiano Ronaldo, dengan berkata beliau bersahabat baik dengan pemain kelab Real Madrid itu.
“Ia satu penipuan dan saya tidak faham kenapa muncul semua cerita ini. Anda boleh bertanya sendiri dengan Ronaldo dan beliau akan mengesahkannya.”
Simao menambah: “Portugal memiliki beberapa pemain terbaik di Eropah dengan cita-cita yang tinggi dan ia adalah pasukan yang kuat dan bersatu,” kata pemain Atletico Madrid itu.
“Adalah penting untuk memulakan Piala Dunia dengan cara terbaik iaitu melakar kemenangan. Kami tidak mahu menentang Brazil di perlawanan ketiga dengan memerlukan kemenangan tetapi jika perlu, kenapa tidak? Ini kerana kami sudah menewaskan mereka beberapa kali sebelum ini.” — AFP


