Projek Tanah Bencah pertama dilaksana

0

Pembinaan taman dan laluan pejalan kaki bernilai RM2.9 juta siap akhir tahun: Lee

LOKASI PROJEK: Datuk Lee (dua, kanan) melihat peta Projek Tanah Bencah Miri sambil diberi penerangan oleh jurutera JPS, Law Wee (dua, kiri), kontraktor dan Kaunselor Koh Ek Chong.

LOKASI PROJEK: Datuk Lee (dua, kanan) melihat peta Projek Tanah Bencah Miri sambil diberi penerangan oleh jurutera JPS, Law Wee (dua, kiri), kontraktor dan Kaunselor Koh Ek Chong.


MIRI: Projek Tanah Bencah (Wetland) yang pertama di negeri ini sedang dilaksanakan di Permyjaya di sini, melibatkan pembinaan taman dan laluan pejalan kaki yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Projek bernilai RM2.9 juta itu turut melibatkan kerjakerja mengorek tiga kolam takungan banjir yang berperanan menapis dan memerangkap sampah sarap yang dialirkan dari kawasan perumahan.

Saiz setiap kolam adalah berbeza dengan anggaran panjangnya antara 200 hingga 300 meter dengan kedalaman 2.5 meter

Selain itu, laluan pejalan kali sejauh empat kilometer dengan landskap taman juga dibangunkan untuk kemudahan riadah penduduk.

Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin memberitahu, konsep projek itu merupakan yang pertama dilaksanakan di Sarawak, mencontohi konsep yang kini dipraktikkan di luar negara.

Tanah bencah merupakan kawasan daratan dan kawasan berair yang tertemu di mana kawasan yang sentiasa bertakung air sepanjang tahun di kawasan paya, gambut, kawasan berair sama ada buatan manusia atau semulajadi.

“Kita akan membuat tiga kolam besar yang mempunyai penapis dan perangkap sisa buangan, seperti sampahsarap dari rumah-rumah untuk mengelak daripada terus mengalir ke sungai.

Kawasan Permyjaya adalah besar dan merupakan kawasan tanah rendah. Projek ini akan membantu mengurang kan masalah banjir dengan mengalirkan air ke kolam yang disediakan,” jelasnya ketika melawat tapak projek itu semalam.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Senadin memberitahu, kerjakerja mengorek kolam serta membina laluan pejalan kaki baru sahaja dimulakan dan dijangkakan siap pada penghujung tahun ini.

Projek dibangunkan bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) .

Pembinaan kolam itu diharap dapat mengurangkan masalah pencemaran sungai di Miri dengan pengurangan pembuangan sisa-sisa buangan dari kawasan kediaman.

“Kita juga merancang untuk membangunkan projek ini di kawasan lain dalam usaha kita untuk menjaga kebersihan sungai Miri,” jelasnya.

Tentang langkah membendung kebakaran tanah gambut di utara Miri, Lee berkata JPS akan membina 14 pintu tali air (check gate) yang bertujuan untuk menaikkan paras air untuk melembapkan kawasan tanah gambut yang mudah terbakar.

Pintu tali air yang diperbuat daripada kayu itu adalah bersifat sementara dan akan dibuat di parit-parit banjir di Permyjaya, Senadin, Kuala Baram dan sekitar Universiti Teknologi Curtin kampus Sarawak.

“Kita juga merancang untuk membesarkan parit-parit banjir untuk membolehkan kita mengumpul lebih banyak air.

“Kita juga berharap JPS akan menyediakan pam-pam besar untuk mengepam air dari kolam tadahan banjir ketika musim kering. Perigi tiub (tube well) yang kita sediakan juga diharap akan membekalkan banyak air untuk membanjiri kawasan yang terbakar,” jelasnya.

Lee berkata, usaha pencegahan yang dirancang dan dilaksanakan sekarang adalah untuk mengelak kesan serius pembakaran tanah gambut di kawasan utara Sarawak yang merupakan penyebab utama masalah jerebu di sini setiap tahun.