Puyol akan tentukan masa depan selepas final

0

POTCHEFSTROOM, Afrika Selatan: Pemain pertahanan veteran Sepanyol, Carles Puyol yang menanduk gol kemenangan yang membawa Sepanyol ke perlawanan akhir Piala Dunia 2010, akan membuat keputusan berhubung masa depannya di peringkat antarabangsa selepas perlawanan merebut kejuaraan menentang Belanda pada malam esok (awal pagi Isnin waktu Malaysia).  

CARLES PUYOL

CARLES PUYOL

“Apa yang kami lalui ketika ini cukup indah dan selepas itu adalah masa untuk berfikir,” demikian kata Puyol, 32 pada Khamis lepas.

“Belum ada keputusan yang telah dibuat. Saya akan bercakap tentang perkara itu dengan jurulatih Vicente Del Bosque dan pengarah sukan (Fernando Hierro) selepas final nanti.”

Tonggak pertahanan Barcelona itu bermain buat kali pertama untuk Sepanyol pada 2000 ketika menentang Belanda pada perlawanan persahabatan dan Ahad ini, beliau akan bermain buat kali ke-90 untuk negaranya.

Tandukan kencang Puyol selepas menerima hantaran tepat Xavi, 17 minit sebelum tamat perlawanan separuh akhir pada Rabu lepas, sudah memadai buat Sepanyol yang juga merupakan juara Eropah bagi mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Jerman, sekali gus menempah tempat buat julung kalinya di pentas akhir Piala Dunia.

Beliau hampir menjaringkan gol di separuh masa pertama dalam perlawanan di Durban, tetapi tandukannya melepasi palang gol.

“Saya tidak menjaringkan banyak gol, jadi gol ini memang cukup penting. Saya gembira kerana pasukan kami bermain dalam final, kami berhak bermain dalam final,” kata Puyol.

“Saya ada bercakap mengenai gerakan itu bersama Xavi untuk meletakkan bola dekat dengan kawasan tendangan penalti. Pada separuh masa pertama ia tidak menjadi, tetapi di separuh masa kedua, sasaran Xavi tepat sekali. Ia adalah saat yang akan diingati, lebih-lebih lagi kerana saya jarang-jarang menjaringkan gol.

“Segalanya berlaku begitu cepat sekali dan kami tahu sekiranya kami mengekalkan prestasi kami, kami sememangnya mampu mara ke final. Kami tahu betapa penting perkara ini bagi bola sepak Sepanyol. Saya harap Ahad nanti, saya akan dapat menjaringkan satu lagi gol penting seperti gol ini.”

Sepanyol dan Belanda belum pernah menang dalam perlawanan akhir Piala Dunia tetapi Belanda sudah dua kali menjadi naib juara.

Kedua-dua pasukan suka mempamerkan corak permainan hantaran yang ketat dan bergaya dengan kesabaran sebagai kunci untuk melakukan serangan.

Puyol juga merasakan perlawanan akhir pada Ahad nanti adalah terbuka.

“Kedua-dua pasukan suka bermain bola sepak, kedua-duanya memiliki pemain-pemain yang cukup berbakat,” ujar pemain pertahanan itu, yang telah menyaksikan keyakinan pasukannya meningkat sejak tewas kepada Switzerland dalam perlawanan pembukaan di peringkat kumpulan.

“Kami adalah pasukan pilihan di awal kejohanan dan apabila kami kalah dalam perlawanan pertama, ia dilihat sebagai satu bencana.

“Kami tidak bermain teruk. Kami berjaya melepasi pusingan pertama dan keyakinan kami semakin meningkat. Rabu lepas, ketika menentang Jerman, kami telah mempamerkan permainan terbaik kami di Piala Dunia.” — AFP