Setinggan tanah rizab kereta api bakal terima berita baik

0

LUMUT: Kerajaan pusat akan mengumumkan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi kira-kira 643 keluarga setinggan yang menduduki tanah rizab kereta api di Kuala Sepetang, Taiping tidak lama lagi, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

RASMI: Zambry (kanan) dan Pengarah Kumpulan YWD Sdn. Bhd. Marcus Doh, (kiri) memotong reben ketika  merasmikan kawasan Rekreasi Batu-batuan Asli dan melancarkan Fasa ke-3 Pangsapuri Bukit Permata di Lumut, semalam. — Gambar Bernama

RASMI: Zambry (kanan) dan Pengarah Kumpulan YWD Sdn. Bhd. Marcus Doh, (kiri) memotong reben ketika merasmikan kawasan Rekreasi Batu-batuan Asli dan melancarkan Fasa ke-3 Pangsapuri Bukit Permata di Lumut, semalam. — Gambar Bernama

“Mereka (setinggan) akan menerima berita gembira berkenaan daripada pihak kerajaan pusat dalam masa terdekat ini…perkhabaran yang dinanti-nantikan sejak puluhan tahun itu secara tidak rasmi telah pun dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada saya baru-baru ini,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci bagi Fasa 1 dan 2 Pangsapuri Bukit Permata di sini semalam, Dr Zambry berkata keluarga yang menduduki tanah seluas 94.5 hektar antara Taiping dan Kuala Sepetang itu diminta bersabar menunggu berita gembira berkenaan.

Januari lalu, Kerajaan Negeri Perak telah memohon supaya Perbadanan Aset Kereta Api (PAK) mempertimbangkan semula kadar RM38 juta bagi melepaskan hak milik tanah rizab kereta api itu kepada kerajaan negeri.

PAK selaku pentadbir tanah berkenaan diminta membuat pertimbangan untuk kemungkinan menyerahkan terus tanah yang tidak lagi digunakan untuk tujuan operasi kereta api sejak 1941 itu kepada kerajaan negeri tanpa dikenakan bayaran.

Pelepasan tanah yang pernah menjadi lokasi landasan kereta api pertama negara itu akan membolehkan kerajaan negeri membangunkan kawasan itu bagi mengatasi masalah perumahan serta memelihara tapak bersejarah berkenaan.

Pembinaan landasan yang bermula pada 1882 itu bertujuan menghubungkan kawasan perlombongan di Larut dengan pelabuhan Kuala Sepetang yang dulunya dikenali sebagai Port Weld.

Dalam perkembangan lain, Dr Zambry membidas pihak tertentu yang cuba mempolitikkan isu pembangunan pantai peranginan Teluk Nipah di Pulau Pangkor yang kononnya dibantah peniaga dan penduduk.

“Projek untuk membangun dan menyusun semula gerai-gerai usang di pantai peranginan Teluk Nipah, Pulau Pangkor telah dirancang sejak dahulu lagi.

Kerajaan negeri berhasrat untuk memastikan kawasan pantai yang cantik itu terus dikunjungi pelancongan dalam dan luar negara,” katanya.— Bernama

Menurutnya, pembangunan semula pantai Teluk Nipah itu telah dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk beberapa pemimpin parti pembangkang.

“Projek itu untuk kepentingan semua pihak termasuk masa depan semua peniaga yang rata-rata berpendapatan kecil…kerajaan mahu memastikan kebajikan termasuk pendapatan mereka terus dijaga, bukan hanya untuk hari ini malahan untuk jangka masa depan yang panjang,” katanya.

Projek bernilai kira-kira RM6.5 juta itu yang membabitkan pembinaan 40 unit kedai dan landskap telah beberapa kali tertangguh ekoran  bantahan daripada segelintir penduduk dan peniaga kecil di situ. — Bernama