Mohon permit dahulu

0

Satu kesalahan membuka kaunter pendaftaran pengundi tanpa permit daripada MBM dan polis

MIRI: Parti-parti politik di sini dilarang untuk membuka kaunter pendaftaran pengundi baru sekiranya tidak memiliki permit atau surat kebenaran daripada pihak berkuasa. Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai memberitahu, selain melanggar peraturan, pembukaan kaunter di tempat awam tanpa permit boleh menimbulkan masalah kesesakan, khasnya di kawasan-kawasan sem­pit dan sesak.

“Kita tidak menghalang hak mereka (parti politik) untuk membuka kaunter pendaftaran tetapi mereka perlu terlebih dahulu mendapatkan permit dari­pada Majlis Bandaraya Miri.

“Mereka tidak boleh membuka kaunter pendaftaran sesuka hati di tempat awam,” jelasnya.

Selain itu, kata beliau, parti terlibat juga perlu terlebih dahulu mendapatkan permit daripada pihak polis sekiranya kaunter berkenaan dijaga atau menghim­pun lebih lima orang.

Menurut Lawrence, pihak pen­guat kuasa MBM mendapati ada pihak daripada parti politik di sini membuka kaunter pendaftaran untuk pengundi-pengundi baru di beberapa kawasan di pusat bandar raya Miri.

“Mereka didapati membuka kaunter di laluan kaki lima, pasar dan tamu, iaitu kawasan milik MBM.

“Kita tidak mahu kesesakan berlaku di kawasan ini, lagi pun kaunter-kaunter berkenaan didapati beroperasi tanpa permit,” katanya.

Lawrence berkata, peraturan ini bukan hanya untuk dipatuhi parti pembangkang sahaja, tetapi perlu juga dipatuhi oleh parti-parti kom­ponen Barisan Nasional (BN).

Menurut Lawrence, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk berdaftar sebagai pengundi dan berharap dengan kerjasama daripada pel­bagai pihak akan menggalakkan lebih ramai masyarakat, khasnya generasi muda mendaftarkan diri sebagai pengundi.

“Kita menggalak mereka yang berusia 21 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai pengundi.

“Sebagai Datuk Bandar, saya menggalak penduduk Miri untuk mengundi kerana ia adalah tanggung­jawab yang penting,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau men­egaskan bahawa gerakan pen­daftaran pengundi perlu dilaku­kan secara teratur dan mengikut peraturan.