Najib optimis kemajuan Sarawak

0

MIRI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak optimis Sarawak akan terus mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat sekali gus muncul sebagai negeri maju walaupun berhadapan dengan kekangan kemudahan.

KEK 1MALAYSIA: Najib bersama tetamu kehormat lain melihat kek 1Malaysia sekali gus bagi meraikan hari jadinya, sempena Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Tertutup Miri malam kelmarin.

KEK 1MALAYSIA: Najib bersama tetamu kehormat lain melihat kek 1Malaysia sekali gus bagi meraikan hari jadinya, sempena Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Tertutup Miri malam kelmarin.

Beliau yakin negeri ini akan terus alami pertumbuhan ekonomi pesat

Beliau berkata, pada masa ini kemajuan ekonomi di negeri ini masih belum mencapai tahap yang sebenar kerana rangkaian pengangkutan yang tidak mencukupi, sekolah yang kekurangan dana dan bekalan perkhidmatan yang tidak mencukupi.

“Namun saya kagumi Sarawak kerana negeri ini telah mengalami pertumbuhan yang sungguh berkesan.

“Sehubungan ini, Sarawak akan terus diberi bantuan kerajaan untuk mencapai potensi yang sebenarnya,” katanya.

Najib berkata demikian pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Tertutup Miri malam kelmarin.

“Oleh sebab itu saya telah memperluas bantuan kewangan kerajaan Pusat kepada pihak berkuasa tempatan di Sarawak dan melalui lawatan, saya dapat melakukan keputusan langsung mengenai bantuan yang patut diberi di kawasan yang dilawati.

“Dana serta pelaburan masa hadapan akan disampaikan secepat mungkin di kawasan yang memerlukan bagi digunakan melaksanakan projek prasarana, bekalan perkhidmatan oleh pihak berkuasa tempatan serta untuk penambahbaikan peluang pendidikan terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

Ujar Najib, kerajaan pusat dan negeri melalui Rancangan Malaysia Ke-10 telah melakar dan mengenal pasti isu serta inisiatif yang mampu melonjakkan Sarawak dengan kelengkapan kemudahan asas, pendidikan dan perniagaan yang kesannya akan dirasai bermula tahun depan.

Namun untuk melaksanakan semua rancangan itu, negara memerlukan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya enam peratus setiap tahun agar lebih banyak pelaburan dari negara asing dapat masuk dengan pendapatan itu dapat digunakan membina lebih banyak jalan.

Dalam pada itu, Najib turut memuji peranan Miri yang terkenal dengan industri gas dan petroleum berada di kalangan bandar yang berkedudukan strategik bersama bandar lain di Sarawak berikutan peranannya yang penting dalam kemajuan ke pada negeri serta negara ini.

“Miri cukup terkenal di kalangan pelancong sebagai destinasi ke Taman Negara Mulu yang telah dikategorikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan juga pelbagai tarikan flora dan fauna yang ada di sini.

“Ini diimbangi pula dengan perniagaan dan perindustrian yang kukuh seperti penempatan syarikat-syarikat minyak dan gas antarabangsa seperti Haaliburton, Nippon Oil dan Baker Hughes,” katanya.

Lebih 5,000 penduduk Miri menghadiri majlis yang dimulakan dengan persembahan gendang Cina yang disertai kira-kira 50 peserta selain persembahan kebudayaan 1Malaysia yang disertai pelbagai kaum yang terdapat di negeri ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta dif-dif kenamaan lain.