Banjir terburuk di Kampung Api Api sejak 1982
by Steve Annuar
July 26, 2010, Monday
MIRI: Kampung Api Api, Lutong dekat sini, dilanda banjir paling teruk dalam tempoh 28 tahun akibat air pasang besar apabila paras air mencecah sehingga ketinggian 1.5 meter dan menjejaskan sebanyak 38 buah rumah.
Pada Sabtu lalu, banjir yang melanda telah menyebabkan kampung berkenaan ditenggelami air setinggi 1 meter akibat air pasang besar dan ombak besar yang menjejaskan sebanyak 30 buah rumah.
Namun paras air berkenaan terus naik semalam dan menyebabkan seramai 340 penduduk dari 68 kediaman terjejas.
“Ini merupakan banjir terburuk yang pernah kami alami selama mendiami kampung ini sejak tahun 1982,” demikian menurut Bendahari Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Kampung Api Api, Among Segat.
“Banjir yang melanda kampung kami pada Sabtu lalu masih belum surut, dan hari ini paras air semakin naik apabila air pasang besar berlaku, menyebabkan banjir yang lebih serius.
“Kami berharap pihak kerajaan akan dapat menempatkan kami ke kawasan yang lebih selamat daripada terus menerima ancaman banjir ini,” jelas beliau lagi.
Bercakap kepada Utusan Borneo di sini semalam, Among memberitahu walaupun banjir agak besar namun penduduk kampung dalam keadaan selamat dan setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Beliau menambah, sebanyak empat buah rumah telah rosak akibat tiupan angin kencang yang melanda Miri sekitar jam 9 hingga 10 malam kelmarin.
Menurut Among, kampung berkenaan sering dilanda banjir akibat air pasang dan ombak besar dari Laut China Selatan setiap kali musim tengkujuh iaitu pada bulan Januari, Julai, November dan Disember.
“Penduduk sekarang dalam keadaan berjaga-jaga di rumah mereka. Ramai telah memindahkan kenderaan mereka ke tempat yang lebih tinggi dan selamat,“ jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam telah melawat kampung berkenaan pada 11 Julai lalu.
Melihat kepada masalah air pasang besar yang serius di kawasan itu, Dr Chan telah menasihatkan penduduk untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat ataupun mendiami rumah mampu milik yang dibangunkan sekarang.



