Pasukan taekwondo perbaiki pencapaian



SIBU: Meskipun hanya memperolehi dua pingat, Persatuan Taekwondo Global Sarawak (SGTA) tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka pada Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Kebangsaan Bawah 21 Tahun di Perak, yang berlangsung 22 hingga 25 Julai lepas.

TETAP BANGGA: Ahmad Zaini (berdiri lima kiri) merakamkan kenangan bersama anak-anak buahnya yang berjuang di Perak.

TETAP BANGGA: Ahmad Zaini (berdiri lima kiri) merakamkan kenangan bersama anak-anak buahnya yang berjuang di Perak.

Kontinjen Sarawak bawa balik satu emas, satu perak


Pengurus pasukan SGTA, Abang Ahmad Zaini Abang Fauzan berkata pasukan berjaya memperolehi satu pingat emas dan satu pingat perak, sekali gus memperbaiki prestasi mereka pada tahun lepas yang sekadar membawa pulang dua pingat gangsa sahaja.

“Secara keseluruhannya, kita berpuas hati dengan pencapaian atlet kita yang telah memberikan saingan yang sengit kepada pihak lawan.

“Walaupun atlet kita gagal menambah pingat, prestasi mereka kali ini adalah lebih baik dengan satu emas dan satu perak,” ujarnya kepada pemberita, petang kelmarin.

Pingat emas disumbangkan oleh Oo Kean Chern dari Miri menerusi kategori ‘pattern’ individu sementara perak disumbangkan oleh Juliette Emah bagi kategori ‘sparring’ individu.

Menurut Ahmad Zaini lagi, ini merupakan julung kali SGTA memperolehi pingat emas dalam kategori terbabit.

Sementara dalam kategori individu ‘sparring’, beliau memberitahu mereka mampu menambah koleksi pingat sekiranya enam peserta SGTA lain mampu memberikan yang terbaik.

Menyentuh tentang pencapaian keseluruhan pasukan, Ahmad Zaini berkata atlet-atletnya masih kurang dari segi pengalaman, memandangkan mereka yang berpengalaman tidak dapat menyertai kejohanan kerana menduduki peperiksaan atau memasuki institusi pengajian tinggi.

“Sehubungan itu, kita perlu melatih lebih ramai bakat baru bagi menghadapi kejohanan sama tahun depan.

“Mereka yang terpilih akan kita latih awal sebagai persiapan bagi menghadapi kejohanan yang dianjurkan,” jelas beliau sambil menambah latihan dijadualkan bermula Februari depan.

Selain SGTA, skuad Sarawak turut disertai oleh Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia, Shito-Ryu Karatedo, Persekutuan Taekwondo Antarabangsa Malaysia (ITF) dan Wushu.

Kejohanan anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu dimenangi oleh pasukan Pahang, diikuti Perak (naib juara) dan Kedah.

Related Posts

  • No Related Posts