CCTV berkesan kurangkan jenayah jalanan



IPOH: Kadar jenayah jalanan di lokasi “panas” yang telah dipasang kamera litar tertutup (CCTV) di 25 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara tahun ini menurun 30 peratus, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung.

TERKAWAL: Wira (dua,kiri) bertanyakan mengenai fungsi CCTV kepada Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof (kiri) semasa meninjau bilik kawalan CCTV Dewan Bandaraya Ipoh di Ipoh, semalam. — Gambar Bernama

TERKAWAL: Wira (dua,kiri) bertanyakan mengenai fungsi CCTV kepada Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof (kiri) semasa meninjau bilik kawalan CCTV Dewan Bandaraya Ipoh di Ipoh, semalam. — Gambar Bernama

Kadar jenayah di lokasi ‘panas’  di seluruh negara telah menurun sebanyak 30 peratus

Beliau berkata pemasangan CCTV melalui program Bandar Selamat sejak awal tahun ini telah menunjukkan keberkesanan dalam membantu menurunkan kadar jenayah jalanan.

“Kita akan tengok betapa efektif program ini sebelum merancang memperluaskan lagi pemasangannya (CCTV) di tempat lain seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi CCTV di kawasan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.

Chor berkata mengikut Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian, sasaran penurunan kadar jenayah jalanan adalah 15 peratus hingga akhir tahun ini.

Mengenai pemasangan CCTV di 25 PBT itu, beliau berkata kesemua 496 CCTV akan siap dipasang pada 31 Ogos ini.

“Kesemua CCTV yang dipasang akan menghubungkan maklumat dari PBT terlibat ke pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah dan Kontinjen,” katanya.

Beliau juga mengumumkan bahawa syarikat GTC Global Sdn Bhd telah diberi kontrak bernilai RM59.8 juta selama lima tahun untuk memasang dan mengendali sistem berkenaan melalui tender terbuka.

Katanya, sebanyak 19 buah syarikat membuat tawaran dan penender yang terpilih itu membuat tawaran paling rendah dan dengan spesifikasi tepat.

Di Perak, sebanyak 40 CCTV dipasang iaitu 24 di Ipoh dan 16 lagi di kawasan Majlis Perbandaran Manjung. — Bernama

Related Posts

  • No Related Posts