Kawasan pedalaman off-grid S’wak, Sabah dikaji
July 30, 2010, Friday
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui projeknya ‘Green Energy Island’ diberi mandat untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi sumber tenaga di kawasan pedalaman negeri Sarawak dan Sabah yang belum disambung dengan bekalan elektrik dari sistem grid atau kawasan ‘off-grid’.
Bagi menyelesaikan masalah dan mencari alternatif sumber tenaga baru itu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah meluluskan peruntukan RM605,000 untuk membolehkan UNIMAS menjalankan penyelidikannya.
“KeTTHA telah meluluskan peruntukan sebanyak RM605,000 dengan harapan projek ini nanti akan dapat menyelesaikan masalah bekalan elektrik di kawasan pendalaman yang off-grid ini,” demikian menurut menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.
“Ia penting kerana kita melihat bekalan tenaga elektrik bagi kawasan pedalaman adalah amat perlu untuk pembangunan sosioekonomi dan sosial setempat,” katanya lagi.
Terdapat sebanyak tiga hingga lima peratus kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak belum mendapat sambungan bekalan elektrik dari sistem grid utiliti.
“Oleh demikian, sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) dilihat lebih berpotensi dibangunkan untuk penjanaan tenaga elektrik di kawasan pedalaman.
“Sistem elektrik dari sumber RE boleh dijana dengan kapasiti kecil sesuai dengan permintaan setempat selain mempunyai kos yang rendah dan amat sesuai bagi sistem bekalan off-grid,” tambahnya.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Mentor: 1 IPTA, 1 Menteri UNIMAS.
Dalam perkembangan berkaitan Chin turut menjelaskan bahawa penggunaan tenaga solar masih kurang di negeri ini.
“Panel solar sangat mahal jika dibandingkan kadar Sesco dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di negara ini.
“Maka itu sekarang kita melihat tiada insentif penduduk di sini menggunakan tenaga solar dan masih menggunakan bekalan elektrik dari syarikat-syarikat utiliti,” katanya
Bagaimanapun beliau menjangkakan bilangan pengguna tenaga solar di negara dan negeri ini khususnya akan meningkat.
“Suatu hari nanti kos membuat solar panel ini akan menurun tetapi kadar eletrik akan naik kerana bahan bakar seperti gas dan arang batu akan menjadi mahal.
“Dan kita menjangkakan akan melaksanakan tenaga solar ini secara menyeluruh dalam tujuh hingga lapan tahun dari sekarang sebaik sahaja kita mencapai keseimbangan kos di antara Sesco dan panel solar,” katanya


