Dua beradik disyaki terlibat jual bayi dibebaskan dengan ikat jamin polis

0

KUCHING: Dua beradik dari Indonesia yang disyaki terlibat dalam sindiket penjualan bayi, semalam dibebaskan dengan ikat jamin polis.

Adik-beradik itu, yang masing-masing berusia 22 tahun dan 19 tahun merupakan suspek terakhir dibebaskan daripada 17 orang yang ditahan polis untuk siasatan berhubung kes terbabit.

Kedua-dua mereka ditahan selepas dicekup semasa operasi yang dijalankan polis berhubung maklumat yang diperolehi.

Mereka dikatakan tinggal di sebuah rumah yang digunakan untuk menyimpan bayi sebelum menjual mereka secara haram.

Sindiket itu terbongkar apabi la seorang wanita ditahan di Bandar Baru MJC, Batu Kawah, apabila dia mencuba menjual seorang bayi secara haram kepada anggota polis yang menyamar dengan nilai RM10,000.

Berikutan penahanan itu, beberapa lagi suspek ditahan termasuk seorang Datuk dan isterinya.

Dalam pada itu, polis turut menyelamatkan seramai lapan orang kanak-kanak yang berumur antara satu bulan hingga 12 tahun.

Semua kanak-kanak tersebut kemudiannya ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Bagaimanapun, semua suspek dibebaskan dengan ikat jamin polis.