Tony Pua jangan ‘main api’: Ahmad Maslan

0


JOHOR BAHARU: Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan meminta anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua supaya jangan “bermain api” dengan cadangan memansuhkan pemberian diskaun kepada Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor.

AHMAD MASLAN

AHMAD MASLAN

Cadangan mansuhkan diskaun kepada Bumiputera dalam pemilikan hartanah isu sensitif

Beliau berkata peratusan rumah kedai dan premis perniagaan yang dimilik orang Melayu di kawasan bandar ketika ini amat rendah, iaitu hanya 14 peratus dan pemansuhan diskaun hanya akan memburukkan lagi keadaan.

“Saya minta Yang Berhormat Tony Pua supaya jangan  bermain dengan api. Jangan cuba menyalakan sebatang mancis dengan memberikan cadangan itu.

Tony Pua kena berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ahmad berkata cadangan pemimpin DAP itu dibuat tanpa mengambil kira sensitivity orang Melayu dan kaum Bumiputera yang bilangannya adalah dua pertiga daripada keseluruhan penduduk negara ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian selepas menghadiri majlis konvokesyen Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim di Pusat Konvensyen Persada Johor.

Ahmad berkata ketidakseimbangan turut berlaku di kawasan perumahan kerana hanya 30 peratus kuota pemilikan rumah dikhaskan kepada orang Melayu dan Bumiputera, walaupun mereka merupakan 67 peratus daripada penduduk negara ini.

“(Ketidakseimbangan) itu adalah amat tidak sihat untuk masa depan negara, jikalau taman-taman perumahan di negara ini dipenuhi oleh 70 peratus bukan Bumiputera, manakala Bumiputera dan orang Melayu terpinggir di rumah-rumah kecil di pinggir bandar,” katanya.

Beliau berkata dasar pemberian diskaun kepada orang Melayu dan Bumiputera itu memberikan sedikit kelebihan kepada mereka untuk memiliki kediaman dan premis perniagaan.

Sehubungan itu, DAP dan Tony Pua diminta memahami Perlembagaan negara terutama yang menyentuh hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, kontrak sosial serta sejarah negara.

Katanya, beliau percaya kenyataan pemimpin DAP itu merupakan sebahagian daripada senarai panjang usaha parti berkenaan untuk mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

“Kenyataan Tony Pua yang hanya berdasarkan kepada sentimen keuntungan perniagaan dan dasar rasis DAP itu telah menyebabkan kemarahan orang-orang Melayu.

“Kita mahu penduduk Malaysia terus hidup didalam kedamaian,” katanya. Dalam perkembangan lain, Ahmad meminta orang Melayu dan Bumiputera supaya mementingkan pendidikan untuk maju dan memastikan mereka mampu bersaing dengan kaum lain di negara ini.

Sejumlah 250 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing pada majlis konvokesyen semalam. Pelajar Diploma Kejururawatan Siti Norazah Shafiee dipilih sebagai penerima Anugerah Pengerusi Eksekutif. — Bernama