Polis jamin jaga keselamatan ibu tunggal

0

Kerjasama rapat antara kedua-dua pihak akan bantu mengelak jenayah: Jamaluddin

MIRI: Keselamatan ibu-ibu tunggal di Miri akan terjaga dan sentiasa mendapat perhatian daripada pihak ber-kuasa khasnya polis berhubung apa jua masalah termasuk jenayah.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jamaluddin Ibrahim berkata, golongan ibu tunggal harus bekerjasama rapat dengan pihak polis bagi mengelak sebarang kejadian jenayah menimpa mereka.

“Kita galakkan semua ibu tunggal agar memberikan kerjasama kepada pihak kita (polis) bagi menghindari kejadian tidak diingini,” kata Jamal di Ibu Pejabat Polis Miri semasa sidang media selepas mengadakan dialog dengan Kelab Sosial dan Kebajikan Harmoni (KSKH), semalam.

Menurutnya, segala laporan polis yang dibuat oleh ibu-ibu tunggal sebelum ini sebenarnya sudah diambil tindakan, tetapi ada kes yang memakan masa lebih lama dan memerlukan siasatan lanjut.

Sementara itu, Menteri Muda Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin yang turut hadir berkata, sesi dialog antara KSKH dan polis tersebut menampakkan hasil yang positif.

“Pertemuan ini sebenarnya dibuat berikutan kematian seorang ibu tunggal baru-baru ini yang menimbulkan kebimbangan di kalangan mereka. Saya dapat lihat perkembangan yang baik timbul daripada sesi dialog ini,” kata Lee,

Katanya, dialog khas itu turut membangkitkan perkara-perkara merangkumi jenayah seperti ugutan, peras ugut dan lain-lain yang sering dihadapi oleh golongan ibu tunggal.

“Pihak polis telah memberikan nombor telefon bimbit mereka sendiri sekiranya ada di kalangan ibu tunggal menghadapi masalah berkaitan jenayah,” ujar beliau.

Selain itu, katanya, satu ceramah khas dalam bahasa Mandarin akan disampaikan oleh pegawai polis bagi meningkatkan keselamatan ibu-ibu tunggal yang kurang memahami bahasa-bahasa lain.

“Ini (langkah keselamatan) adalah penting bagi mengelak mereka (ibu-ibu tunggal) serta anak-anak daripada diancam bahaya yang kadang-kadang boleh mengancam nyawa,” tambahnya.

Turut hadir pada dialog tersebut ialah ADUN Pujut Andy Chia, Setiausaha Politik Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Sebastian Ting; Kaunselor Koh Ek Chong, Penge-rusi KSKH Connie Tang dan Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Ismail Toh Paduka Idris.

Pada masa sama, satu sumbangan ikhlas turut disampaikan kepada anak-anak mendiang ibu tunggal berusia 28 tahun di kawasan Senadin yang dilaporkan mati dengan kesan tikaman di perut baru-baru ini.