Jurutera tempatan malas turun padang, dedah Hamid Bugo

0

KUCHING: Pengerusi Zecon Bhd, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo semalam membongkar budaya kerja di kalangan jurutera tempatan, yang disifatkannya malas turun ke tapak kerja dan amat berbeza dengan komitmen kerja jurutera dari negara luar.

Menurut beliau, jurutera tempatan lebih cenderung mengarahkan pegawai bawahannya untuk turun ke tapak kerja, atau membuat pemeriksaan di tapak dan kemudiannya hanya menunggu laporan daripada pegawai terbabit.

“Kalau lihat pada jurutera asing, baik dari Eropah, Jepun, Taiwan dan yang lain, sekiranya dilaporkan sesuatu masalah di tapak kerja, me-reka akan terus turun dan melihat sendiri keadaannya, dan kemudiannya balik ke pejabat untuk memeriksa pelan.

“Tapi, kalau jurutera tempatan, jika dilaporkan sesuatu masalah, mereka hanya melihat pelan di pejabat, kemudian mengarahkan pegawai turun memeriksa dan menunggu laporan daripada pegawai terbabit,” katanya.

Beliau menjelaskan, budaya kerja sedemikian adalah tidak efisien bagi seseorang juru-tera, yang tidak menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu projek yang dipertanggungjawabkan.

Menceritakan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan kepada penerima Anugerah Kecemerlangan Zecon 2010 yang melibatkan Fakulti Kejuruteraan Unimas, di sini semalam, Hamid berharap graduan yang bakal berkecimpung dalam bidang kerja tersebut supaya menunjukkan komitmen lebih baik demi meningkatkan martabat kejuruteraan tempatan.

“Jangan takut panas (matahari), kotor dan segala yang berkaitan dengan kerja jurutera ini…kita mahu lihat seorang jurutera yang betul-betul bekerja dan menunjukkan komitmen sebagai seorang jurutera,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata Zecon Bhd akan memilih graduan yang betul-betul sesuai untuk ditaja bagi melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.

Tambahnya, Zecon Bhd juga akan melebarkan sumbangan biasiswa mereka pada Fakulti Kewangan di Unimas.

Katanya, inisiatif tersebut sejajar dengan hasrat Zecon Bhd untuk melahirkan jurutera yang berpotensi untuk diserapkan bekerja di bawah naungan syarikat tersebut.

“Sebab itu, kita mahu cari calon yang betul-betul layak untuk menerima biasiswa daripada Zecon Bhd kerana kita mahu melahirkan jurutera yang berkaliber,” katanya.

Sementara itu, Hamid memberitahu Zecon Bhd, iaitu antara syarikat terbesar di Sarawak telah terlibat dalam pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, rumah, empangan, minyak dan gas sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Zecon Bhd berhasrat untuk mengembangkan lagi usaha khususnya di luar negara, dan ini memerlukan sokongan kakitangan khususnya jurutera bagi mencapai matlamat ini,” katanya.