UNIMAS harapan S’wak

0

Ia akan terus menjadi pembekal tenaga kerja profesional, kata Taib

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan terus menjadi universiti pilihan untuk membekalkan tenaga kerja profesional dalam pembangunan negeri ini, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

TAHNIAH: Taib menyampaikan ijazah kepada salah seorang graduan UNIMAS pada majlis konvokesyen universiti tersebut di Kuching semalam.

Ini kerana menurut beliau sejak 14 tahun lepas UNIMAS sudah melahirkan ramai graduan yang menjadi peneraju di pelbagai sektor awam dan swasta di negara ini.

Justeru itu beliau mahu UNIMAS menilai semula program-program pembelajaran dan pendidikan untuk memastikan penyampaian maklumat dan kemahirannya relevan kepada para penuntut.

“UNIMAS akan terus kekal sebagai universiti pilihan untuk memenuhi keperluan lebih ramai lagi pekerja profesional yang relevan bagi membangunkan negeri ini yang dijangka lebih pesat mulai Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Ini juga seterusnya merupakan usaha yang menyeluruh untuk melonjakkan ekonomi kita daripada  ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi, oleh itu diharapkan UNIMAS dapat memainkan peranan utama bersama institusi-institusi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Konvokesyen Ke-14 UNIMAS, di sini, semalam.

Menurut beliau lagi, usaha tersebut juga adalah untuk melihat lebih ramai lagi penduduk tempatan mempunyai pendidikan di peringkat pengajian tinggi menjelang tahun 2020 kelak.

“Kita ingin melihat sekurang-kurang 30 peratus penduduk tempatan mempunyai pendidikan di peringkat pengajian tinggi bagi menampung keperluan pembangunan negeri dan negara amnya menjelang 2020 dan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Pro Canselor UNIMAS dalam ucapannya, turut menggalakkan penglibatan aktif UNIMAS dalam pelbagai agensi kerajaan dan swasta di dalam dan luar negara.

“Oleh sebab itu, saya tahu UNIMAS akan mengambil tindakan bagi memperkenalkan universiti ini di kalangan pakar-pakar pendidikan di seluruh dunia dan saya sendiri sanggup untuk menaja (usaha),” katanya.

“Saya percaya kerjasama yang dipaut bersama rakanrakan global dalam penyelidikan dan juga pendidikan sudah pasti mampu meningkatkan mutu dan keterampilan pendidikan dan penyelidikan di UNIMAS,” tambah beliau lagi. Hadir sama di majlis tersebut ialah Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Khairuddin Abdul Hamid dan Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datu Dr Hatta Solhi.