INTI PATI BAJET 2011

0

* RM212 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010.

* Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bagi perbelanjaan pembangunan.

* Di bawah peruntukan mengurus, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan, RM86.4 billion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap.

* Sejumlah RM1.4 bilion disediakan untuk pembelian aset dan RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.

* Bagi peruntukan pembangunan, RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

* Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM955 juta bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion berbanding RM162.1 bilion pada tahun 2010.

* Defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK berbanding 5.6 peratus pada 2010.

* Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 billion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

* RM213 juta lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.

* Enrolmen prasekolah akan ditingkatkan dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah.

* RM111 juta diperuntukkan bagi program PERMATA antaranya bagi pembinaan fasa 2 Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.

* RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.

* Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta sebagai mengiktiraf pendidikan Islam.

* Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

* Sejumlah RM213 juta diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan kurikulum standard sekolah rendah.

* Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.

* Peratusan staf akademik berkelulusan PhD ditambah kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan RM20 juta.

* Kerajaan semak semula kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2010 kepada tujuh INTI PATI BAJET 2011 peratus berbanding enam peratus sebelumnya.

* Pendapatan per kapita bertambah 6.1 peratus kepada RM28,000.

* Pelaburan swasta berkembang 12.5 peratus kepada RM86 bilion.

* Pelaksanaan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dijangka menjana pelaburan bernilai lebih RM1.3 trilion dalam pelaburan dan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan.

* Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebagai “tipping point” untuk membangunkan infrastruktur sokongan bagi membolehkan projek yang diterajui sektor swasta.

* Beberapa projek perkongsian awam-swasta (PPP) di bawah RMK-10 akan dilaksanakan pada 2011 melalui pelaburan swasta sebanyak RM12.5 bilion

* Academic Medical Centre, usahasama antara Academic Medical Centre Sdn Bhd dan Johns Hopkins Medical International serta Royal College of Surgeons Ireland, merupakan sebuah lagi projek PPP yang dikenal pasti dengan pelaburan swasta sebanyak RM2 bilion.

* Kerajaan bersedia menimbang pakej insentif yang menarik sebagai galakan untuk mereka yang melabur di Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD).

* Transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) akan mula dilaksanakan mulai 2011 dengan pelaburan swasta sebanyak RM40 bilion dan siap menjelang 2020.

* Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh bercampur dengan anggaran kos sebanyak RM10 bilion, yang dijangka siap menjelang 2025. — Bernama