Suami isteri rugi RM750,000 gara-gara percayakan bomoh

0

KUCHING: Seorang bomoh dan pembantunya diberkas polis pada Jumaat lalu kerana disyaki terbabit dalam penipuan membabitkan wang tunai berjumlah RM750,000.

KERANDA ‘PENYEMBUH: Keranda kecil yang dipercayai digunakan untuk menipu mangsa sebanyak RM750,000.

KERANDA ‘PENYEMBUH: Keranda kecil yang dipercayai digunakan untuk menipu mangsa sebanyak RM750,000.

Suspek yang berusia 35 dan 47 tahun itu diberkas anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di rumah mereka, masing-masing di Batu 3 dan Batu 11, hasil siasatan Ketua Unit JSJK Kuching ASP Dzulkarnain Hazmi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Superintenden Mohd Firdaus Abdullah berkata, mangsa terpedaya dengan bomoh terbabit, yang dipercayai dapat menyembuhkan penyakit misteri suaminya sejak pertengahan tahun 2009.

“Mangsa yang berusia 60 tahun melaporkan kepada polis pada 21 Januari lalu, mereka suami isteri ditipu oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai bomoh,” katanya.

Selepas sesi rawatan, bomoh terbabit meminta pasangan berkenaan meletakkan wang tunai sebanyak RM750,000 ke dalam keranda kecil.

“Bomoh itu memberi syarat kepada mangsa bahawa kesemua wang berkenaan mestilah dalam bentuk wang kertas RM50,” katanya pada sidang media di Balai Polis Sungai Maong, di sini, semalam.

Mangsa diberi amaran oleh bomoh terbabit agar tidak membuka keranda kecil itu selama tiga tahun, jika tidak penyakit suaminya tidak akan sembuh.

Selepas enam bulan tiada tanda-tanda penyembuhan berlaku, pasangan terbabit rasa tidak sedap hati dan pada hari Khamis lepas mereka terus melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

Mangsa memberitahu bahawa wang RM750,000 itu adalah wang simpanan mereka selama ini.

Selepas soal siasat, suspek membawa pihak polis mengambil keranda kecil yang dijumpai tersembunyi di sebuah kuil di Batu 12.

Bagaimanapun, wang berkenaan tidak dijumpai dan hanya sebuah kenderaan Pajero di-temui tidak diusik oleh suspek.

Firdaus berkata, suspek akan ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan dalam kes berkenaan.

“Kedua-dua suspek akan didakwa atas kesalahan menipu. Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan selama 10 tahun mandatori dengan sebatan atau kedua-dua sekali,” jelas Firdaus.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan JSJ Negeri, DSP Ringgit Stanley.