Sekat Gerrard: Ancelotti

0


Chelsea mampu menang di Anfield jika kapten Liverpool dikekang

LIVERPOOL, England: Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti memberitahu barisan bintang di Stamford Bridge bahawa keupayaan menyekat kapten penuh inspirasi Liverpool, Steven Gerrard yang bermain cemerlang ketika ini, adalah kunci kepada kemenangan di Anfield malam ini (Ahad).

Anak-anak buah Ancelotti akan kekal dengan kelebihan sekurang-kurangnya lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) jika mereka kembali dari Merseyside dengan kemenangan pada hujung minggu ini.

‘The Blues’ akan sekali lagi bermain tanpa pemain tengah Frank Lampard, yang masih mengalami sakit pangkal paha, tetapi Michael Essien dan Florent Malouda dijangka kembali dan Ancelotti yakin pasukannya dapat mengulangi kemenangan penting ke atas Liverpool pada musim lepas.

Beliau yakin tiga pemain tengahnya, Essien, John Obi Mikel dan Yuri Zhirkov akan memainkan peranan besar dalam strategi permainan Chelsea termasuk mengunci pergerakan Gerrard, yang digambarkan oleh rakan sepasukannya, Jamie Carragher sebagai pemain terbaik dalam sejarah Liverpool selepas Gerrard menjaringkan hatrik pada pertengahan minggu ketika menentang Napoli dalam Liga Europa.

“Bermain pada tahap 90 peratus sememangnya tidak mencukupi. Anda perlu bermain 100 peratus untuk menang di sana apatah lagi dengan prestasi hebat Gerrard ketika ini,” kata Ancelotti.

“Kemenangan mereka (ke atas Napoli) adalah penting dari segi meningkatkan keyakinan mereka, jadi kami perlu bersedia untuk bertarung dan sentiasa fokus sepanjang perlawanan.”

Merujuk kepada kemenangan 2-0 mereka ke atas Liverpool pada awal Mei lalu, Ancelotti berkata: “Ia merupakan perlawanan paling penting bagi kami pada musim lepas dan kunci kepada kejayaan kami memenangi kejuaraan.

“Kami akan bermain menentang sebuah pasukan yang berbeza. Mereka sudah menukar pengurus dan berdepan beberapa masalah sejak permulaan musim. Namun mereka sudah maju ke hadapan dan memenangi tiga perlawanan terakhir.

“Kami perlu memikirkan bahawa mereka adalah salah sebuah pasukan terbaik di England. Suasana di sana pasti hebat sekali dan mereka akan mendapat sokongan peminat mereka. Untuk menang di sana, kami perlu melakukan yang terbaik.”

Ketika Chelsea sudah memenangi kejuaraan sebanyak tiga kali dalam tempoh enam tahun lepas, Liverpool pula belum memenangi liga selama dua dekad dan Ancelotti hairan melihat mereka tidak begitu berjaya.

“Saya terkejut,” akuinya. “Sebuah pasukan yang mampu memenangi Liga Juara-Juara seharusnya dapat memenangi EPL. Itu memang mengejutkan saya.

“Ada kelab, seperti Milan, yang lebih yakin bermain dalam Liga Juara-Juara dengan sejarah mereka berbanding dalam liga tempatan.

“Ia sukar dijelaskan namun itulah hakikatnya. Milan lebih selesa dalam Liga Juara-Juara. Liverpool juga ada sejarah dan tradisi itu, dan ia adalah sama.”

Pengurus Liverpool, Roy Hodgson menghadapi masalah untuk mengukuhkan kedudukannya sejak menggantikan Rafael Benitez, tetapi tiga kemenangan berturut-turut sekurang-kurangnya sudah mengendurkan sedikit kesuraman.

Hodgson yakin Fernando Torres akan kembali ke tahap terbaiknya tidak lama lagi tetapi beliau memberi amaran kepada pemain lain dalam skuad bahawa beliau menjangka mereka akan menyahut cabaran dan menyokong usaha penyerang Sepanyol itu dan Gerrard.

“Ia adalah hatrik yang amat hebat daripada Steven ketika menentang Napoli dan saya berharap beliau tidak terlalu letih menjelang Ahad ini, kerana kami amat memerlukan kesungguhannya bagi seluruh perlawanan menentang Chelsea,” kata Hodgson.

“Fernando sedang berusaha gigih dalam latihan dan beliau semakin kelihatan seperti dirinya yang dahulu. Ia adalah sesuatu yang menyeronokkan untuk bekerja bersama seorang pemain dengan kualitinya.

“Steven dan Fernando merupakan dua pemain dengan kualiti yang hebat, tetapi pemain-pemain lain juga perlu menyahut cabaran dan bermain bersungguh-sungguh.” — AFP