Beri pelajar hamil peluang

0

Benarkan mereka kembalik ke sekolah agar masa depan merekan lebih terjamin: Fatimah

FATIMAH ABDULLAH

KUCHING: Pelajar yang mengandung luar nikah wajar diberi peluang untuk kembali ke sekolah selepas bersalin.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata, pelajaran akan memastikan kehidupan mereka pada masa depan lebih cerah.

“Ini penting untuk saya jelaskan setelah meminta pendapat menteri bertanggungjawab (Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin), pelajar berkenaan perlu dibenarkan untuk kembali bersekolah.

“Justeru, saya berharap pihak sekolah akan memberi peluang kepada anak-anak ini untuk bersekolah balik,” katanya ketika berucap merasmikan program keibubapaan anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Demak Laut, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada penghuni rumah Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Taman Sri Puteri di Telaga Air akan dibenarkan kembali bersekolah atau sebaliknya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hashidah Sayeed Aman Ghazali.

Fatimah berkata, keputusan untuk individu tersebut untuk kembali ke sekolah merupakan satu keputusan yang sukar.

Menurutnya, bukan semua pelajar mengandung atas kehendak mereka kerana mereka berkemungkinan mangsa rogol yang tidak pernah dapat menyangka kejadian itu akan berlaku kepada diri mereka.

Justeru jika pelajar tersebut memutuskan untuk kembali ke sekolah, ia harus disokong sepenuhnya oleh masyarakat kerana menuntut ilmu merupakan hak asas pelajar tersebut.

“Apa yang sudah berlaku, biarkanlah. Kita mesti menyediakan peluang untuk pelajar perempuan itu untuk membuka lembaran baru dalam kehidupan dan meneruskan pelajaran agar mempunyai masa hadapan yang lebih cerah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru ibu bapa untuk memperkasakan kemahiran berkomunikasi, yang kini amat lemah, dengan anak-anak mereka.

“Kita perlu berkomunikasi dengan yang baik dan jelas kepada anak-anak kita.

“Kemahiran berkomunikasi adalah sesuatu yang kita perlukan sesuai dengan peredaran masa yang kian berubah,” katanya.