Elak tragedi berulang: Masing

0

Syarikat pembalakan harus guna amalan pengurusan hutan baik di kawasan pembalakan

ISTIADAT: Gambar kanan menunjukkan penduduk di beberapa rumah panjang di Balleh, Kapit berkumpul melakukan upacara ‘Pelasik Menua’ mohon ketenangan dan keampunan daripada ‘Petara’ (Tuhan kaum Iban). Turut kelihatan ketua upacara, Naban Tutong (dua kiri) dan Dr Masing (tiga kanan). — Gambar Chimon Upon

KAPIT: Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Masing menggesa syarikat-syarikat pembalakan di seluruh negeri supaya mengamalkan amalan pengurusan hutan yang baik di kawasan pembalakan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balleh itu berkata, ia penting bagi mengelakkan fenomena himpunan kayu di ulu Sungai Melatai pada 7 Oktober lepas yang hanyut di sepanjang Sungai Balleh dan Batang Rejang, berulang semula.

“Kita harus menjaga alam sekitar dengan baik. Gagal untuk berbuat demikian akan menyebabkan generasi masa hadapan tidak dapat menikmati alam sekitar kerana kita tidak menjaganya dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara miring ‘Pelasik Menua’ yang dilakukan di muara Sungai Melatai, di sini, semalam.

Akibat tindakan tidak bertanggungjawab itu syarikat pembalakan bukan  sahaja telah merosakkan alam sekitar hingga menyebabkan ‘Tragedi Oktober’ itu berlaku, malah penduduk tempatan terpaksa melakukan upacara miring terbesar yang penuh adat istiadat bagi ‘menenangkan’ Tuhan mereka dan ‘mententeramkan’ semula situasi.

Menurut Masing lagi, agensi-agensi yang berkaitan yang kekurangan kakitangan harus melengkapkan diri mereka dengan penguatkuasaan yang lebih baik.

“Jika Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) atau Jabatan Hutan atau Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) kekurangan kakitangan, mereka perlu merekrut lebih ramai kakitangan agar terdapat pengawasan lebih baik untuk melindungi alam sekitar kita,” katanya.

Walaupun tidak menyalahkan sesiapa mengenai ‘Tragedi 7 Oktober’ itu, namun Masing jelas kecewa berikutan siasatan pada 13 Oktober menyaksikan kawasan yang terjejas di hulu Sungai Melatai, masih aktif dibalak.

Beliau berkata, walaupun laporan rasmi kerajaan, secara spesifik tidak memaklumkan pembalakan merupakan punca utama fenomena itu, Masing menyalahkan manusia dan alam sekitar bagi insiden itu.

“Secara peribadinya, saya melihat himpunan kayu itu untuk menyedarkan pihak yang terlibat dalam menggunakan hutan kita supaya lebih bertanggungjawab.

“Nasib baik pada tragedi himpunan kayu 7 Oktober lalu hanya menyebabkan dua kematian, ia mungkin boleh menjadi lebih teruk,” katanya.

Tambahnya, masyarakat Iban sedang menenangkan tuhan-tuhan dan meminta pengampunan, ‘akibat perbuatan merosakkan alam sekitar’ itu yang mana upacara tersebut menelan kos sebanyak RM100,000.

Upacara ‘Muja Menua’ atau ‘Pelasik Menua’ dikira sebagai miring terbesar dan dijalankan oleh yang terpilih sahaja dari pelbagai rumah panjang di Sungai Balleh.

Ia diketuai oleh ketua kaum Iban yang faham istiadat, Naban Tutong, 85 dari Nanga Entawau dan upacara tersebut telah dilakukan di kedua-dua tebing Sungai Melatai.

Setelah upacara itu selesai, tidak ada orang dibenarkan menggunakan sungai Melatai selama tiga hari atau didenda oleh masyarakat tempatan sebanyak RM100,000.