Jangan daftar parti baru guna agensi-agensi KDN

0

KUCHING: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam mengingatkan pihak yang berhasrat mendaftarkan parti baru untuk menghadapi pilihan raya akan datang di negeri ini supaya tidak menggunakan  agensi-agensi di bawah kementeriannya (KDN).

HATI-HATI: Anggota RELA membantu seorang anggota rombongan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang hampir terjatuh setelah jambatan yang menghubungkan rumah usang seorang penduduk warga emas roboh di Kampung Boyan selepas majlis penutup Hari Bertemu Pelanggan KDN di Tebingan Boyan-Gersik-Sorabaya (BGS) di Kuching, semalam. Menyaksikan saat cemas itu ialah Hishammuddin (tiga kanan). — Gambar Bernama

Beliau turut menyarankan pihak berkaitan supaya mempertimbangkan semula keputusan mereka itu, yang disifatkannya hanyalah perjuangan bermusim tanpa keikhlasan dan kejujuran terhadap rakyat.

“Rakyat meletakkan amanah kepada KDN dan agensi di bawahnya untuk jangka masa yang panjang, tetapi muncul mereka yang mahu mengambil kesempatan untuk jangka masa pendek.

“Saya minta mereka pertimbangkan semula keputusan sebegini kerana agenda kita lebih besar dan luas dan jangan gunakan agensi-agensi di bawah KDN untuk melakukan perkara-perkara sebegitu rupa,” katanya yang ditemui semalam.

Antara agensi di bawah KDN ialah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan banyak lagi.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga naib presiden UMNO menyifatkan  hasrat Pakatan Rakyat (PR) untuk menggunakan satu lambang pada pilihan raya akan datang di negeri ini sebagai kosmetik sahaja.

“Melucukan, kalau mereka sesama sendiri tidak boleh sehaluan, dalam parti sendiri pun kerusi meja melayang, jadi itu merupakan kosmetik.

“Lihat negeri-negeri yang mereka perintah, tidak ditunaikan janji sebelum ini sampaikan rakyat marah dan wakil-wakil rakyat keluar parti, jadi apa nak dicakapkan pasal lambang,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Penutupan Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Penyerahan Lesen Mesin Cetak serta Permit Penerbitan serta Penyampaian Sijil Pengurusan Pertubuhan, di Tebingan BGS (Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya), di sini.

Sempena majlis tersebut, Hishammuddin telah menyampaikan sumbangan kepada tujuh syarikat yang berjaya mendapat kelulusan permit Penerbitan serta Lesen Mesin Cetak serta sijil kepada 10 pertubuhan cemerlang di bahagian Kuching.

Hadir sama ialah Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar yang juga ADUN Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof, Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.