Usahawan wanita diharap terlibat dalam produk Signature

0

KOTA SAMARAHAN: Men-teri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berharap lebih ramai usahawan wanita khasnya melibatkan diri dalam produk Signature dan makanan.

PRODUK JATI TEMPATAN: Fatimah semasa pelancaran rasmi produk Signature berasaskan kelapa bahagian Samarahan, semalam. Turut kelihatan Anuar (kanan), Karim (dua kanan), Mohammad (dua kiri) dan Rodziah (kiri).

Menurut beliau melibatkan diri dalam produk Signature bukan sahaja membantu menambah pendapatan keluarga bahkan meningkatkan kualiti produk itu sendiri.

“Melalui produk Signature juga usahawan wanita dapat menambah pendapatan keluarga bukan setakat ratusan ringgit sahaja tetapi mencapai empat angka.

“Namun pada masa yang sama kita mahu usahawan terus me-ngekalkan kualiti sesuatu pro-duk itu agar ia terus mendapat kepercayaan daripada orang ramai,” katanya berucap bagi me-nyempurnakan pelancaran rasmi produk Signature bagi baha-gian Samarahan di sini, semalam.

Beliau berkata produk Signature memberi kelebihan atau faedah kepada mereka yang terlibat termasuk memartabatkan produk dan makanan setempat kepada orang luar atau pelancong selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Ia juga katanya, membantu orang luar mengenal sesebuah tempat, meningkatkan pendapatan keluarga selain membangunkan produk dan usahawan itu sendiri.

“Pembangunan dilakukan sehingga boleh diiktiraf untuk mendapat pensijilan ‘Sarawak Best’ iaitu jenama untuk produk Sarawak yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Setakat ini kata Fatimah, antara produk yang telah dilancarkan sebagai produk  Signature di Sarawak adalah kek lapis Sarawak bagi bahagian Kuching pada 2008, produk berasaskan sagu bagi Mukah (2009), produk belacan bagi Bintulu (2009) diikuti kini Samarahan yang berasaskan kelapa.

Selain itu beliau turut memberitahu bilangan usahawan yang menghasilkan produk Signature setakat ini seramai 128 orang manakala bilangan produk dan makanan yang dikenal pasti sebanyak 107 jenis.

Produk Signature adalah produk yang biasa dikaitkan dengan sesuatu tempat dan produk serta makanan itu dianggap paling popular, paling laris, terkenal di sesuatu tempat.

Terdahulu Penolong Pengarah Pertanian Bahagian Samarahan Anuar John dalam ucapannya berkata bagi bahagian Samarahan, kelapa telah dipilih sebagai asas utama dalam pelancaran rasmi.

“Di Sarawak kira-kira 25,000 hektar tanah merupakan tanaman kelapa dan bahagian Samarahan merupakan penyumbang terbesar penanaman kelapa iaitu 14,921 hektar terutamanya di kawasan Asajaya,” katanya.

Menurut beliau antara produk berasaskan kelapa adalah terdiri daripada sagon, sambal kelapa, jeli kelapa, Nata De Coco dan kerisik sementara makanan berasaskan kelapa ialah burasak, masakan umbut kelapa, pulut loi dan sebagainya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri dan Residen Bahagian Samarahan Rodziah Morshidi.

PRODUK JATI TEMPATAN: Fatimah semasa pelancaran rasmi produk Signature berasaskan kelapa bahagian Samarahan, semalam. Turut kelihatan Anuar (kanan), Karim (dua kanan), Mohammad (dua kiri) dan Rodziah (kiri).