Sarawak sasar tanam sejuta hektar hutan menjelang 2020

0

KUCHING: Kerajaan negeri meletakkan sasaran menanam sejuta hektar hutan menjelang tahun 2020.Sehingga kini, Sarawak memiliki 250,000 hektar hutan yang ditanam atau 25peratus daripada sasaran.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Len Talif Salleh berkata kerajaan sehingga kini mengeluarkan 43 lesen untuk penanaman hutan dengan 1.5 juta hektar tanah yang boleh ditanam dengan hutan.

Beliau berkata, jika mampu mencapai sasaran, Sarawak akan menjadi negeri yang terkemuka di Malaysia dari segi pembangunan penaman hutan.

“Hutan tanam mampu menghasilkan lebih banyak kayu iaitu kira-kira 10 hingga 20 kali lebih banyak berbanding hutan semula jadi.

“Kayu dari hutan ini bukan sahaja membekalkan bahan mentah bagi industri pulpa dan kertas tetapi juga untuk industri perkayuan lain serta mengekalkan pembangunan sosioekonomi di Sarawak,” katanya dalam Majlis Makan Malam Tahunan Kedua Sarawak Planted Forest Sdn Bhd (SPF) di sebuah hotel di sini malam kelmarin.

Teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif SPFAli Yusop.

Len yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata penanaman hutan juga akan meningkatkan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.

Beliau menyatakan bahawa industri perkayuan di negeri ini berpotensi menjadi penyumbang ketiga tertinggi kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak.

Len turut mengucapkan tahniah kepada SPF atas kejayaannya memperolehi pensijilan ISO14001:2004 EMS.

“Dalam usaha menghadapi cabaran masa depan, SPF akan berusaha mencapai kecemerlangan dan melakukan penambahbaikan dalam apa sahaja yang kami lakukan.

“Anugerah ISO14001-:2004 ini hanya satu daripada kejayaan, kami berharap lebih banyak lagi diperolehi pada masa akan datang,” katanya.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengurus Bahagian SGS (Malaysia) Sdn Bhd Amargit Singh kepada Pengurus Besar SPF Dr Joseph Jawa Kendawang.