Waspada individu menyamar ‘orang’ JTS untuk sukat tanah

0

KAPIT: Pegawai Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kapit, Alfian Bawi mengingatkan masyarakat di pedalaman terutamanya penduduk di rumah panjang supaya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak tertipu dengan kehadiran pihak yang menyamar sebagai kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Sekiranya ada pihak yang tidak dikenali dan mengaku sebagai kakitangan JTS yang ditugaskan untuk menyukat tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), penduduk boleh meminta kad pengenalan diri mereka serta surat pengesahan daripada JTS untuk menyukat tanah NCR di kawasan mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi kakitangan JTS yang sebenar, mereka akan memaklumkan terlebih dahulu mengenai kedatangan mereka untuk menyukat tanah di sesebuah kawasan kepada pemiliknya ataupun penduduk kampung terbabit.

“Kami akan memaklumkan kepada penduduk di kawasan yang terlibat, dan bukannya datang secara tiba-tiba. Kami turut mengadakan dialog bersama- sama penduduk di kawasan tersebut dan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada mereka yang berkenaan.

“Malah kakitangan JTS juga tidak pernah meminta bayaran daripada penduduk di rumah panjang untuk tugas menyukat tanah NCR ini. Jika ada pihak yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan JTS dan meminta bayaran selepas melakukan kerja-kerja menyukat tanah NCR, mereka adalah orang yang menyamar dan mahu menipu serta meracuni fikiran penduduk.

“Justeru saya menasihatkan penduduk-penduduk rumah panjang supaya mengambil nama, serta gambar pihak tersebut untuk membolehkan mereka membuat laporan polis,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak tidak bertanggungjawab ini telah mengambil kesempatan ke atas usaha kerajaan untuk mengiktiraf tanah NCR milik kaum Bumiputera dan bertujuan untuk memanipulasi fikiran rakyat berkaitan isu tanah NCR.

Kejadian seperti ini dilaporkan berlaku di Sungai Melinau, Baleh di sini, apabila ada pihak yang tidak dikenali telah memperkenal-kan diri sebagai kakitangan JTS yang ditugaskan untuk menyukat tanah NCR, tetapi ia tidak benar sebaliknya berniat meracuni fikiran penduduk di situ berhubung isu NCR.

Alfian berkata perimeter survei yang pertama di bawah fasa satu inisiatif tanah NCR di Kapit diadakan di Melekun dan melibatkan penduduk di Rumah Achan pada 27 September yang lepas.

Majlis menyukat tanah yang melibatkan 60 pintu penduduk dari Rumah Achan serta melibatkan 93 kawasan yang berkeluasan 304 ekar (125 hektar) telah dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri Dr James Jemut Masing.

Manakala, di daerah Song pula kawasan yang pertama disukat di kawasan Sungai Sipang/Sesawa, Batang Rejang yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Datuk Ambrose Blikau Enturan.