Ibu tunggal tujuh anak perlu bantuan

0

BINTULU: “Saya tidak tahu sama ada anak-anak saya akan dapat bersekolah atau pun tidak tahun depan.

RAYU BANTUAN: Siti Rosmawatie bersama seorang anaknya merayu bantuan daripada orang ramai.

“Saya sendiri kini menghadapi masalah untuk mendapatkan perbelanjaan persekolahan mereka bahkan kini kesukaran untuk mencari tempat berteduh dan makan minum.”

Demikian luahan hati seorang ibu tunggal yang mempunyai tujuh anak yang amat memerlukan bantuan orang ramai, semalam.

Siti Rosmawati Abdullah@ Maria Francis, 34, berkata dia kini baru bekerja sebulan lebih sebagai pencuci pejabat di sebuah sekolah rendah di sini dengan menerima gaji sebanyak RM400 sebulan.

“Sebelum bercerai saya tidak bekerja dan sebagai suri rumah sepenuh masa menjaga anak-anak di rumah,” tambahnya yang bekerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru di sini.

Bagaimanapun katanya, kesulitannya bermula selepas bercerai dengan suaminya pada 23 November 2010 lalu secara tuntutan taklik di Mahkamah Rendah Syariah Bintulu.

Ibu tunggal terbabit kini menyewa di sebuah rumah sewa di BDA Shahida di pusat bandar di sini.

“Saya kini buntu memikirkan tentang tempat untuk berteduh dan anak-anak di bawah jagaan saya.

“Saya diberi notis untuk berpindah oleh pemilik rumah selewat-lewatnya hari Sabtu ini,” katanya semasa mengunjungi Utusan Borneo semalam.

Siti Rosmawati berkata, dia perlu membayar RM500 sebulan untuk sewa rumah tersebut tetapi kini tidak mampu membayarnya termasuk bil air dan elektrik.

Katanya, jika dikira dengan tambang ulang-alik dengan van atau bas hanya beberapa ringgit sahaja baki perbelanjaan daripada wang gaji untuk dia dan anak-anaknya.

“Kalau hendak pulang ke kampung, keadaan emak di kampung juga susah. Jadi saya tidak tahu bagaimana untuk mengatasi masalah yang saya hadapi ini, melainkan mengharap bantuan orang ramai atau pihak berkuasa berkaitan yang sudi membantu,” katanya.

“Mungkin ada yang ingin membantu untuk memberikan tempat berteduh dan dapat membantu membiayai persekolahan seramai lima orang anak saya pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya tiada jalan lain, mungkin dia akan menumpang berteduh di masjid mahupun surau atau di kaki lima kedai di sini.

“Saya juga memikirkan jalan lain antaranya untuk memohon kepada guru besar sekolah rendah di sini untuk mendapatkan tempat berteduh sementara di sekolah itu (SK Baru),” katanya.

Begitupun beliau tidak menafikan yang sebelum ini anak-anaknya turut menerima bantuan daripada guru-guru dan pihak sekolah tempat beliau bekerja.

Namun katanya, dia  tidak mahu menyusahkan mereka terus menerus dengan memberikan bantuan kerana mereka juga ada bebanan dan tanggungan sendiri.

Beliau yang memeluk Islam pada 20 Disember 1999 berkata, enam anak-anak di bawah tanggungannya terdiri daripada Abdul Qayyum Fahim Abdullah yang baru tamat Tingkatan Lima dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),  Ainul Husna Abdullah (Tingkatan Empat), Muhammad Aiman Abdullah (Tingkatan Dua) yang masing-masingnya kini bersekolah di SMK Baru.

Diikuti Hilayrie Gantie Abdullah (11 tahun), Mohamed Fauzi Abdullah (enam tahun) dan Zulkiflie Zainie (lima tahun).

Seorang lagi anaknya berada di kampung menjaga ibunya ialah August Johnny, 19 tahun yang belum memeluk Islam.

Mengenai bantuan lain katanya: “Saya ada minta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan diberikan bantuan sebanyak RM450 sebulan tetapi untuk bulan November dan Disember ini saya belum lagi menerimanya dan diberitahu yang  peruntukan tahun ini belum ada.”

“Itulah sahaja perbelanjaan saya anak beranak selepas ketiadaan suami di sisi,” jelasnya.

“Saya juga amat buntu kerana saya tiada saudara-mara di sini dan adik beradik saya yang berada di Lawas dan Sarikei pula ada kehidupan sendiri.

“Saya tidak mahu menyusah dan mengganggu keluarga mereka, lagipun mereka dah ada keluarga sendiri dan mereka pun bukannya hidup senang.

“Bahkan mungkin susah untuk saya bercampur gaul dengan mereka kerana saya kini beragama Islam,” katanya.

Katanya, kini saya sedang mencari tempat tinggal dan sedang berusaha untuk mendapatkan perbelanjaan makan minum anak-anak.

Siti Rosmawati berkata, kalau dia tidak bekerja untuk sehari, gajinya juga akan dipotong RM20 dan dia juga perlu menampung perbelanjaan tambang pergi balik dari rumah ke tempat kerja termasuk susu anak-anak yang masih kecil.

“Disebabkan itu, saya merayu kepada pihak yang bersimpati untuk menghulurkan bantuan sama ada menyediakan tempat kediaman untuk dia dan anak-anak berteduh atau perbelanjaan persekolahan anak-anak.

“Tahun depan lima orang anak saya akan bersekolah tetapi saya tidak pasti sama ada dapat menyekolahkan mereka ataupun tidak jika melihat keadaan yang saya hadapi sekarang,” katanya yang kadang-kadang tidak bekerja kerana sakit dan menghidap penyakit darah tinggi.

Beliau berkata, saya tiada cara lain melainkan mengharap bantuan dan simpati daripada orang ramai yang prihatin.

Justeru pihak yang ingin membantu beliau boleh menghubungi-nya di talian 014-5955430 atau datang menemuinya yang mula be-kerja dari jam 6.30 pagi hingga 5 petang di SK Kampung Baru di sini.