Tuai rumah panjang berhak halang pihak pembangkang

0

Mereka boleh menghalang dengan cara baik sekiranya pihak terbabit datang dengan niat tidak baik: Andrew

SIBU: Tuai rumah panjang mempunyai hak bagi menghalang pihak tertentu daripada datang atau masuk ke dalam rumah panjang, khususnya pihak pembangkang yang ingin menyebarkan ideologi politik mereka.

Setiausaha Politik  Ketua Menteri Andrew Shilling Banggit berkata, tuai rumah boleh menghalang dengan cara baik sekiranya pihak terbabit datang dengan niat tidak baik.

“Jangan terima mereka (pembangkang) untuk datang ke rumah panjang. Tuai-tuai rumah panjang mempunyai hak untuk menghalang mereka ini untuk masuk atau datang ke rumah panjang,” ujarnya ketika berucap pada Program Pencegahan Kebakaran di Rumah Unjah Besh, Sungai Melanggan, semalam.

Program dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Unjah bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Merah.

Hadir sama ialah Penghulu James Semilan, Penghulu Jeffery Sut, Tuai Rumah Unjah Besh, Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah Eddy Kilat, pengerusi penganjur Fabian Ajah, tuai-tuai rumah serta yang lain.

Andrew yang mewakili Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Dato Sri Wong Soon Koh memberitahu, sekiranya pihak pembangkang dibenar datang atau masuk ke rumah panjang, dikhuatiri mereka akan meracuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan.

“Oleh itu, ahli-ahli JKKK harus berhati-hati dalam membenarkan pihak tertentu untuk datang atau masuk ke rumah panjang,” katanya sambil memberitahu penduduk di rumah panjang khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan masih memerlukan banyak pembangunan.

Memandangkan pilihan raya negeri akan berlangsung, beliau merayu penduduk serta pengundi di DUN Bawang Assan agar terus bersatu dan menyokong kerajaan, khasnya ADUN kawasan terbabit, Dato Sri Wong Soon Koh.

“Kita di rumah panjang masih banyak masalah serta memerlukan bantuan daripada wakil rakyat,” jelasnya sambil menambah hanya wakil rakyat Barisan Nasional dapat memberikan projek pembangunan yang diperlukan oleh penduduk rumah panjang.

Menyentuh mengenai program berkenaan, Andrew memberitahu bahawa ia amat penting bagi meningkatkan kesedaran penghuni rumah panjang berhubung bahaya kebakaran, yang telah meranapkan sejumlah rumah panjang setiap tahun.

Kebakaran rumah panjang katanya, mungkin berpunca daripada seorang penghuni sahaja tetapi ia menjejaskan semua penghuni serta menyebabkan kemusnahan semua harta benda.