Tindakan Peter tiada kaitan dengan SADIA: Sidi

0

KUCHING: Tindakan salah seorang ahli Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), Peter John Jaban yang kini menjadi juruhebah di Radio Free Sarawak (RFS) tidak mempunyai sebarang kaitan dengan persatuan tersebut.

Tindakan Peter tiada kaitan dengan SADIA: Sidi

Presidennya, Sidi Munan berkata, tindakan oleh Peter adalah atas kehendaknya sendiri. “Itu adalah kebebasan peribadi beliau walaupun beliau ahli SADIA cawangan Kuching. Itu keputusan dia dan saya tidak boleh berkata apa-apa ataupun menyalahkan sesiapa,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam, sambil menegaskan sekali lagi, ia tiada kena-mengena dengan SADIA.

Baru-baru ini, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Negeri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika diminta mengulas mengenai RFS yang berpangkalan di London, cuba menjatuhkan kerajaan negeri, beliau dipetik berkata kerajaan negeri sebaliknya akan memperjelaskan perkara sebenar agar rakyat tidak terpengaruh dengan agenda pihak tertentu.

“Tiada apa yang dapat kita lakukan (untuk menyekatkan mereka). Kita hanya perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai perkara yang sebenarnya berlaku,” katanya yang dipetik berkata. Manakala Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Masing sekadar menjawab: “Saya tidak ada masa untuk perkara tersebut (siaran RFS). Usah pedulikan dan biarkan sahaja mereka.”

Selain itu, terdapat khabar angin mengatakan RFS mempunyai seorang wakil wanita yang berpangkalan di Melaka dan bertanggungjawab memberitahu sebarang perkembangan mengenai Sarawak kepada RFS.

Namun Peter yang menghubungi akhbar The Borneo Post, semalam menafikan spekulasi tersebut dan memberitahu mereka tidak pernah mempunyai pekerja yang ditempatkan di mana-mana stesen.

Malah RFS juga tidak mempunyai cawangan atau stesen yang beroperasi di manamana kawasan di negara ini melainkan hanya satu sahaja iaitu di London.

“Kami beroperasi dari London dan tidak pernah mengupah sesiapapun menjadi pemberita Melaka. Wanita yang didakwa merupakan wartawan RFS yang berpengkalan di Melaka itu adalah tidak benar. Beliau sekadar penyumbang bahan berita sahaja ,” katanya.

Peter mendakwa mereka mempunyai banyak sumber yang membantu menyumbangkan bahan berita dan gambar-gambar.