Wanita dakwa nyaris dirogol warga asing



MIRI: Seorang wanita di sini tampil membuat laporan polis kelmarin selepas mendakwa nyaris dirogol oleh seorang lelaki warga asing ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, kira-kira jam 8.30 pagi.Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 25 tahun yang merupakan pekerja salun rambut di Permjaya sedang dalam perjalanan ke tempat kerja melalui lorong pejalan kaki.

Ketika melalui lorong tersebut, mangsa kemudiaan terkejut selepas mendapati seorang lelaki berkulit hitam dipercayai warga asing keluar dari semak berhampiran dan bertindak memeluknya.

Menurut keterangan mangsa, suspek berkenaan kemudiannya cuba menarik mangsa ke dalam semak berhampiran namun tindakan tersebut gagal selepas mangsa memukul kepala suspek dengan batu.

Dalam pergelutan itu, mangsa yang cuba diheret oleh suspek ke dalam semak sempat mengambil batu seterusnya memukul kepala suspek dengan batu itu sehingga mangsa berjaya meloloskan diri.

Suspek lelaki warga asing itu kemudiannya melarikan diri sebaik sahaja mangsa berjaya mempertahankan diri daripada cubaan rogol.

Mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarganya dan membuat laporan di Balai Polis Miri pada hari sama.

Dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kenderaan jenis Hilux dalam kejadian yang berlaku di Simpang Jalan Bakam, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Johny Brandi, 30, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sementara pemandu Hilux berkenaan dilaporkan selamat.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan keluar dari simpang berkenaan secara tiba-tiba dan tidak menyedari sebuah Hilux yang datang dari arah bertentangan.

Akibat kecuaian mangsa, Hilux yang sedang dalam perjalanan menghala ke Miri itu kemudiannya merempuh mangsa sehingga mangsa terpelanting beberapa meter ke bahu jalan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat sementara saksi yang mengetahui kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Related Posts